Pemain industri dakwa pemasaran pelancongan kurang memuaskan

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa ramai pemain industri pelancongan menyatakan bahawa pemasaran untuk sektor berkenaan di Malaysia kurang memuaskan.

Beliau berkata, terdapat banyak tempat di Malaysia yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan tidak dijayakan dan banyak kawasan yang menarik pula kurang dipromosikan.

“Perkara yang saya ingin tekankan adalah pembaharuan sistem bagi menepati trend pasaran dan keperluan semasa terutama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan di bahagian promosi serta pemasaran agar lebih berdaya saing.

“Ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, progresif dan seterusnya memberi hasil bermanfaat bukan sahaja kepada kakitangan tetapi juga kepada negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada 14 Jun, Sinar Harian melaporkan, Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) membantah cadangan untuk melantik pihak luar menerusi pentadbiran dan pengoperasian Tourism Malaysia dalam dan luar negara.

Presidennya, Alwi Shakir Abdullah mendakwa cadangan tersebut tidak rasional dan dikhuatiri akan mengganggu hal ehwal kebajikan kakitangan Tourism Malaysia terutama dari segi peluang kenaikan pangkat.

Mengulas lanjut, King Sing menegaskan pelantikan jawatan dalam urus tadbir Tourism Malaysia adalah bersandarkan kelayakan dan petunjuk prestasi utama (KPI).

Menurutnya, pengambilan atau penempatan pegawai di Tourism Malaysia termasuk jawatan tertinggi demi memastikan agensi itu dapat mencapai matlamat dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Tourism Malaysia merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang melalui fasa reformasi dengan penyusunan semula kakitangan yang hanya melibatkan bahagian pemasaran dan promosi sahaja.

“Walau bagaimanapun, ia masih lagi di peringkat cadangan dan penelitian serta kajian menyeluruh sedang dijalankan sebelum keputusan atau pelaksanaannya dimuktamadkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu itu memberitahu, usaha pembaharuan jabatan atau agensi dengan penyusunan semula kakitangan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama melibatkan anak muda.

Beliau berkata, tindakan berkenaan secara tidak langsung dapat memberi nafas baharu yang lebih baik seiring peredaran semasa terutama melibatkan bahagian promosi dan pemasaran Tourism Malaysia.

Pada masa sama, King Sing menyeru kepada kakitangan MOTAC supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sesuatu isu demi kepentingan sendiri.

“Di saat ramai rakyat Malaysia hilang punca pendapatan dan pekerjaan terutamanya dalam industri pelancongan, kita masih memiliki kerjaya untuk kelangsungan hidup.

“Apabila sektor pelancongan kembali pulih dan berkembang maju, ia akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang luas untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.