Tiada lagi sampah masuk ke Simpang Renggam: Maszlee

Maszlee (kiri) menunjukkan sampah yang masih terdapat di Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.
Maszlee (kiri) menunjukkan sampah yang masih terdapat di Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM – 75,000 pemilik akaun Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) di Simpang Renggam yang sering terjejas bekalan air boleh menarik nafas lega apabila tiada lagi sampah yang akan dibuang di Simpang Renggam selepas ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, ini susulan penutupan operasi Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 di Renggam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 26 Mac lalu.

“Selepas ini tiada lagi sampah yang akan masuk ke Simpang Renggam dan ini adalah satu berita baik kepada rakyat Simpang Renggam setelah bertahun-tahun mengalami masalah ini dan kerajaan PH berjaya menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 10 bulan.

“SWM Environment juga akan memastikan tapak ini tidak berlaku sebarang tumpahan air larut resap (leachate) ke sungai lagi dan akan melakukan penambahbaikan Loji Rawatan Leachate (LTP) dengan kos sebanyak RM3.15 juta,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP 1 Renggam, di sini, hari ini.

Keadaan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.
Keadaan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Muzaldin Mohamad; Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Muhamad Syukri Abdul Rahim.

Menurutnya, selain itu langkah kedua yang akan dilakukan adalah mengenal pasti sumber-sumber pencemaran air yang lain seperti ladang-ladang ternakan ayam dan sisa kumbahan yang tidak dirawat dengan betul.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan meminta bantuan daripada agensi terlibat seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar sumber pencemaran air yang lain ini dapat diatasi.

“Mesyuarat Kabinet baru-baru ini juga telah memutuskan bahawa Kementerian Air, Tanah dan Sumber (KATS) akan melakukan aktiviti pembersihan di Sungai Ulu Benut selain mendapat sokongan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” katanya.

Pada masa sama, Ranhill SAJ dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) juga telah bersetuju agar sumber air mentah daripada Empangan Machap akan disalurkan terus ke Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam agar penduduk di kawasan ini tidak mengharapkan semata-mata sumber air daripada Sungai Benut.

Maszlee (tengah) sewaktu melawatTapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.
Maszlee (tengah) sewaktu melawatTapak Pelupusan Sampah Ladang CEP1 Renggam.