BN yakin kekal dominan di Perak selepas PRU15

Saarani (tengah) bersama sebahagian pesara tentera yang hadir pada Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Khamis.
Saarani (tengah) bersama sebahagian pesara tentera yang hadir pada Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin kekal menjadi parti dominan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, rakyat sudah belajar daripada kesan yang berlaku selepas PRU14 lalu apabila tiada parti dominan untuk membentuk kerajaan menyebabkan pentadbiran tidak stabil.

Menurut beliau, dalam beberapa siri pertemuan dengan rakyat sering diingatkan agar mereka memilih parti yang boleh menjadi dominan pada PRU akan datang bagi mengelak masalah sama berulang.

"Kita pujuk orang ramai berilah peluang kalau boleh satu parti tunggal BN untuk jadi kerajaan yang stabil. Kita tak mahu siapa yang jadi menteri besar atau perdana menteri akan menghabiskan masa jaga kedudukan, parti dia.

"Jika kerajaan stabil, apabila pilihan raya dah tamat siapa yang menerajui negara kepala akan fikir macam mana nak jaga rakyat, bangunkan negeri," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Panglima Markas 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak, Leftenan Kolonel (B), Aminuddin Abd Karim.

Saarani berkata, mengambil contoh di Perak, kerajaan negeri lebih stabil kerana dominan apabila memiliki 25 kerusi berbanding rakan gabungan yang lain.

Beliau berkata, pihaknya yakin pada PRU15 nanti rakyat akan memilih kestabilan politik sama ada di Perak atau di peringkat pusat.

Jelasnya, jika BN menguasai majoriti atau memperoleh dua pertiga kerusi pada PRU15 lebih baik untuk memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan beberapa penganalisis politik mengandaikan kemungkinan tiada parti yang akan mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan jika berlaku pertembungan tiga penjuru di antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.