Tiada perpecahan dalam PKR: Aminuddin

Aminuddin (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Anak Sekolah DUN Sikamat pada Khamis.
Aminuddin (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Anak Sekolah DUN Sikamat pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Penerimaan ketua-ketua cabang terhadap pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022-2025 pada Rabu membuktikan tiada perpecahan berlaku dalam parti itu.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berikutan penerimaan daripada semua ketua cabang adalah baik dan ini merupakan satu langkah yang bijak daripada Presiden PKR.

"Orang luar menganggap selepas pemilihan parti pastinya berlaku perpecahan teruk tapi kita lihat bahawa jentera terhindar daripada perkara tersebut apabila kita lihat pelantikan dibuat, ketua-ketua cabang mampu terima dan tidak berpecah.

"Saya nampak semalam (Rabu) kehadiran ketua-ketua cabang menunjukkan sokongan terhadap keputusan yang dibuat oleh Presiden.

"Kita harap bahawa masa yang pendek ini dapat kita gunakan untuk memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dimaklumkan antara bulan Oktober hingga tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Bantuan Anak Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di Balai Raya Desa Rhu, Sikamat pada Khamis.

Pada Rabu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya memaklumkan setelah rundingan dibuat kesemua ketua cabang di Negeri Sembilan bersetuju mengekalkan Aminuddin sebagai Pengerusi MPN Negeri Sembilan.

Selain itu, Aminuddin juga memimpin MPN Melaka yang turut dipersetujui oleh ketua cabang negeri tersebut.

Pada masa sama, semua ketua cabang negeri Johor juga bersetuju dengan pelantikan Rafizi Ramli sebagai Pengerusi MPN Johor.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikan di dua negeri berkenaan, Aminuddin menyifatkannya sebagai satu tugas berat.

"Sudah tentu tugas berat menanti untuk memimpin PKR Melaka terutama untuk memulih dan mengembalikan kekuatan parti di negeri tersebut selepas tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.

"Bagaimanapun, kita kena yakin kerana selepas Kongres PKR, seperti ada momentum baharu dan ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

"Lupakan pemilihan (parti) yang lalu dan tumpukan kepada pilihan raya, itu yang paling penting. Di Melaka dan Johor kami kalah sewaktu PRN tetapi tidak bermakna dalam tempoh terdekat kami tidak boleh bangkit sebagai parti yang dipercayai rakyat," katanya.