Pelaporan kes rasuah bukan untuk sensasi tapi mendidik

Syed Agil ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Media Sudah Buat Kerja, Next?’ pada Rabu.
Syed Agil ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Media Sudah Buat Kerja, Next?’ pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaporan kes rasuah perlu memberikan penekanan terhadap usaha untuk mendidik masyarakat terhadap isu tersebut dan bukan semata-mata mensensasikan perkara berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, berkata, keseimbangan antara kedua-dua elemen tersebut sangat penting untuk memastikan pemahaman lebih menyeluruh dalam kalangan masyarakat berkenaan keadaan rasuah di negara ini.

“Kita tidak mahu tonjolkan atau memberi satu gambaran negatif dalam kalangan penduduk kita, tetapi kita nak mendidik masayarakat yang mana salah dan yang mana betul,” katanya ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Media Sudah Buat Kerja, Next?’.

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu dan dikendalikan Zaim Zaini itu turut disertai oleh Penerbit Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ally Iskandar Mohd Mardzi dan editor yang juga penyampai Astro Awani, Dzulfitri Yusop.

Syed Agil berkata, media di dalam negara perlu mencari satu mekanisme pendidikan menerusi laporan yang dihasilkan bagi memastikan berita itu dapat membantu memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat terhadap rasuah yang berlaku di Malaysia.

Katanya, media juga boleh digunakan sebagai platform yang boleh mengorak langkah lebih drastik dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk memastikan masyarakat terdidik dengan pengetahuan tentang rasuah.

“Di samping itu, ‘self-regulation’ diamalkan oleh media menerusi pelaporan berita antaranya berdasarkan sumber yang sahih itu diharapkan dapat mendedahkan masyarakat mengenai isu rasuah berlaku dengan cara yang betul dan efisien,” ujarnya.