Rangka tindakan, jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rangka tindakan dan jawatankuasa mengenai isu gelandangan akan diwujudkan untuk menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut memandangkan kini tiada punca kuasa dan perundangan khusus dalam pengoperasian serta pengendalian golongan itu di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dipengerusikannya serta dihadiri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat di Putrajaya, pada Rabu.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

"Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.

"Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif di sebuah pusat jagaan warga emas bermula 21 Nov lalu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran Badan Bukan Kerajaan (NGO) berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan memperkasa pendidikan dan penyeragaman pengurusan tahfiz di seluruh negara melalui lima teras utama iaitu undang-undang, model tahfiz, kurikulum yang menepati pendidikan arus perdana, tadbir urus yang berintegriti dan penyelarasan pengiktirafan tahfiz.

Katanya, sejak DPTN diperkenalkan pada 2016, jumlah pusat tahfiz berdaftar telah meningkat daripada 571 kepada 1,208 tahun ini.

Beliau turut meminta kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersama-sama meneliti status tanah bagi mempermudahkan pusat jagaan serta pusat tahfiz mendapatkan kelulusan beroperasi demi menjayakan agenda Keluarga Malaysia dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terutama golongan rentan.

"Contohnya, isu penukaran status tanah pertanian kepada tanah komersial bagi membolehkan pusat-pusat ini beroperasi dengan sah," katanya.

Mengenai Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan, Ismail Sabri berkata, ia merupakan platform khas untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan golongan rentan di negara ini termasuklah pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta pusat tahfiz.

Katanya, kini definisi golongan rentan diperluaskan kepada 12 golongan antaranya gelandangan, individu tanpa dokumen perjalanan, pelarian, pesakit penyakit berjangkit, miskin dan sebagainya.

Menurut Perdana Menteri, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan merangka pendekatan holistik untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dilindungi daripada manipulasi, pengabaian serta penganiayaan dan keahliannya diperluaskan kepada NGO yang berkaitan.

"Kerajaan juga telah mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

"Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana," katanya. - Bernama