Pindah polis bermasalah ke Sabah, Hajiji mahukan penjelasan

Hajiji minta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebelum tindakan memindahkan anggota bermasalah ke Sabah dan Sarawak dilaksanakan.
Hajiji minta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebelum tindakan memindahkan anggota bermasalah ke Sabah dan Sarawak dilaksanakan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah memandang serius berhubung isu pemindahan anggota polis bermasalah ke Sabah dan Sarawak tanpa mendapat pandangan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan itu dilaksanakan.

"Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai respons berhubung laporan berita sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Hajiji yang kini sedang menunaikan ibadah umrah berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada polis mengenai perkara berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sakikala Devi menerusi sesi wawancara khas Sinar Harian pada Selasa memaklumkan, kesemua anggota polis yang terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

Susulan daripada itu, perkara berkenaan mendapat pelbagai pandangan dan kritikan termasuk daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang turut meminta kerajaan Persekutuan tidak menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai 'tong sampah' dengan 'membuang' penjawat awam bermasalah ke dua negeri berkenaan.