'Sabah, Sarawak bukannya tong sampah'

Isnaraissah Munirah
Isnaraissah Munirah
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai 'tong sampah' dengan 'membuang' penjawat awam bermasalah ke dua negeri berkenaan.

Dalam hantaran beliau di laman Facebook rasminya, beliau dengan nada kesal mengatakan Sabah dan Sarawak tertinggal dari segi kemudahan malah penjawat awam bermasalah juga dihantar ke negeri itu.

"Tolonglah Federal (Persekutuan), Sabah Sarawak bukannya tong sampah.

"Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi (beri) kami orang yang bermasalah," tulisnya pada Selasa.

Tambah beliau lagi, Sabah mungkin tidak akan maju jika dilayan sedemikian.

"Sampai bila kami mahu maju? Berhenti layan kami seperti ini," katanya.

Sebelum itu, dalam hantarannya itu turut dikongsikan pautan berita Sinar Harian melaporkan sembilan anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah dan Sarawak.

Sembilan anggota berkenaan disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor dan perkara itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sakikala Devi menerusi sesi wawancara khas Sinar Harian yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.