Sembilan anggota polis disiasat kes pemerasan

 Sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan.
Sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

"Siasatan jenayah dijalankan selari dengan siasatan tatatertib.

"Sembilan anggota itu dipercayai memeras berkaitan kes memiliki dadah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, semakan juga mendapati pengadu memiliki rekod lampau bersabit kes dadah.

Tambahnya, tindakan turut dimaklumkan di peringkat Bukit Aman untuk arahan pertukaran keluar anggota terbabit.

Tegasnya, Polis Selangor tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah dan dadah.