Siasat kehilangan 1.2 juta 'pelancong' warga China

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018. (Ahmad Yahya)
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018. (Ahmad Yahya)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan berhubung isu 1.2 juta warga China yang didakwa tidak keluar dari Malaysia seperti dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya berkata, jumlah tersebut diperolehi daripada rekod keluar masuk Jabatan Imigresen dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021..

Menurutnya, isu pelancong 'hilang' berlarutan saban tahun dan situasi tersebut membimbangkan kerana melibatkan jumlah yang besar.

"Laporan Ketua Audit Negara 2018 turut mendedahkan lebih 100,000 pelancong dari negara China dan India tiada rekod keluar atau kira-kira 95 peratus daripada jumlah pelancong yang hadir dari kedua-dua negara.

"Penubuhan RCI ini bagi memastikan suatu siasatan yang terbuka dan bebas.

"Ia perlu bermatlamatkan mencari ruang-ruang kelemahan yang ada di pintu masuk negara selain kelompongan sistem kemudahan visa seperti program pengecualian visa (eNTRI) dan Visa Semasa Ketibaan (VOA)," katanya dalam satu kenyataan pada petang Selasa.

Ahmad berkata, siasatan tersebut juga wajar mendedahkan jika ada kewujudan unsur jenayah rasuah dan salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia.

Menurutnya, peningkatan jenayah dalam negara melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) selain sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan MyKad juga perlu diberikan tumpuan.

"Perkara ini pernah didedahkan sebelum ini sehingga membawa kepada penangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang pada tahun 2019.

"Tangkapan terhadap sindiket ini membawa kepada pendedahan seorang ahli perniagaan China yang mengaku membeli MyKad dengan harga mencecah RM400,000.

"Ia ditambah lagi dengan kejayaan pihak berkuasa memberkas lebih 600 warga China di Cyberjaya kerana terbabit dengan scammer," ujarnya.

Tambah Ahmad, lebih membimbangkan apabila kelompok yang menerima MyKad palsu ini mendapat keistimewaan sebagai warganegara malah turut diberikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya.

"Langkah proaktif bagi mengatasi isu ini memerlukan kehendak politik yang kuat daripada kerajaan Persekutuan.

"Kesemua ini merupakan rantaian isu yang berlaku dan pernah dilaporkan tahun-tahun sebelumnya.

"Oleh itu, penubuhan RCI bagi menyiasat dan merungkai kesemua 'puzzles' merupakan langkah yang sangat mustahak untuk dipertimbangkan," katanya lagi.