Nelayan rayu teruskan binaan balai baharu

Pembinaan balai nelayan baharu Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri Tanjung Kling, di sini, tergendala.
Pembinaan balai nelayan baharu Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri Tanjung Kling, di sini, tergendala.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira 30 nelayan di Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri Tanjung Kling, di sini, berada dalam dilema apabila tapak pembinaan balai nelayan baharu di kawasan tersebut telah disita.

Mereka mendakwa, tindakan itu menyebabkan cadangan pembinaan semula balai nelayan tidak dapat diteruskan.

Ketua nelayan kampung itu, Ali Zainol, 60, berkata balai nelayan sebelum ini rosak teruk akibat hakisan pantai dan menyebabkan nelayan sepakat meruntuhkannya sebelum memilih kayu dan bumbung adex yang masih boleh digunakan bagi pembinaan baharu kira-kira 10 meter dari tapak balai asal.

Ali menunjukkanotis yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.
Ali menunjukkanotis yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.

Menurutnya, sejak 30 tahun lalu balai nelayan itu telah wujud untuk memudahkan nelayan menyimpan peralatan serta membaik pulih bot dan sebagainya.

"Selama ini itulah tempat untuk nelayan menyimpan perahu, ada pangkin menjual ikan segar dan ruang menyimpan jaring, sungkur untuk menangkap geragau, langgai untuk menangkap udang dan pangkin nelayan berehat," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Tambah Ali, pihaknya terkejut apabila Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah menampal notis sita dan mengarahkan kawasan itu dikosongkan dengan alasan nelayan menceroboh tanah kerajaan.

"Sebelum ini tidak pernah menerima notis seumpama itu ketika balai nelayan lama masih ada dan tindakan berkenaan amat menghairankan.

"Kami merayu kerajaan negeri meneliti isu berkenaan dan membantu mengatasinya kerana balai terbabit amat diperlukan bagi memudahkan nelayan menyimpan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan," katanya.

Nelayan, Abdul Aziz Yahaya, 59, mendakwa notis ditandatangani Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Melaka Tengah, Idi Fazlul Zainuddin itu menyebabkan kerja pembinaan semula balai nelayan yang dimulakan dua minggu lalu tergendala.

"Kami nelayan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan tiada tempat lain untuk kami menyimpan perahu serta peralatan menangkap ikan.

"Harap kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah ini kerana semakin lama peralatan dibiarkan terjemur, semakin rosak dan kami tidak mempunyai banyak duit untuk mendapatkan peralatan baharu," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kawasan Pantai Kundor, Mohamad Abd Rahman@Madi yang dihubungi berkata, pembinaan bangunan baharu itu tidak mematuhi syarat selain tiada sebarang permohonan pembinaan balai tersebut.

"Kalau mereka mengikut prosedur tiada masalah dan kita boleh beri (kelulusan).

"Tapi setakat ini tiada sebarang perbincangan antara MBMB dan Ahli Majlis berhubung perkara itu," katanya.