Mangsa banjir Baling berdepan isu air bersih

Penduduk berpendapat tidak praktikal untuk membaiki semula paip air masyarakat buat masa ini kerana bimbang ia rosak semula jika banjir melanda lagi.
Penduduk berpendapat tidak praktikal untuk membaiki semula paip air masyarakat buat masa ini kerana bimbang ia rosak semula jika banjir melanda lagi.
A
A
A

BALING - Gelombang kedua banjir di Kupang 28 Julai lalu menyebabkan penduduk sekali lagi berdepan isu bekalan air bersih yang menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, saluran paip air masyarakat yang dibaik pulih akibat bencana banjir dan kepala air 4 Julai lalu, sekali lagi rosak dan terjejas akibat gelombang kedua banjir Khamis lalu.

"Banjir kilat akibat gelombang kedua bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk malah ia turut memusnahkan bekalan air masyarakat yang bersumberkan anak sungai Gunung Inas yang dah dibaiki sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung Nering, Kampung Bok Bak dan Lata Celak.

Menurutnya, setakat ini, mangsa banjir bergantung kepada bekalan air melalui paip Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun di kawasan tinggi atau bertekanan rendah, bekalan terganggu sehingga terpaksa menunggu agihan melalui bantuan lori yang dihantar dari rumah ke rumah.

“Kehidupan sukar bagi penduduk di sini selepas bencana, mereka memerlukan bekalan air yang jernih untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Kami tidak dapat pastikan berapa lama kami perlu menunggu bekalan paip air disambung semula,” katanya.

Menurutnya, penduduk berpendapat tidak praktikal untuk membaiki semula paip air masyarakat buat masa ini kerana bimbang ia rosak semula jika banjir melanda lagi.

Justeru katanya, setelah berbincang dengan penduduk kampung terlibat, jawatankuasa itu mengenal pasti keperluan untuk mempunyai stesen bekalan air sendiri untuk kesemua tujuh kampung yang terjejas.

Jelasnya, sebanyak 38 tangki air berkapasiti 500 gelen akan ditempatkan di setiap enam hingga tujuh rumah, bagi memudahkan penduduk kampung terutama warga emas mengangkut air dari tangki ke rumah dan menyimpan air dalam tong masing-masing untuk kegunaan seharian.

"Keutamaan kami adalah untuk mengelakkan penduduk kampung daripada jatuh sakit kerana menggunakan air Sungai Kupang yang banyak tercemar akibat banjir baru-baru ini," katanya.

Kerja-kerja baik pulih paip dilakukan selepas kejadian kepala air, namun bekalan air terputus lagi setelah berlaku gelombang kedua banjir di Kupang Baling, Kedah, baru-baru ini.
Kerja-kerja baik pulih paip dilakukan selepas kejadian kepala air, namun bekalan air terputus lagi setelah berlaku gelombang kedua banjir di Kupang Baling, Kedah, baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak enam stesen telah dibina sebagai permulaan dan berharap 32 stesen dapat disiapkan tidak lama lagi.

"Kami juga mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak untuk menyumbangkan tangki dan tong air bagi meringankan beban penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li berkata, beliau sedang berkoordinasi dengan SADA untuk melaksanakannya.

“Kami bersyukur dengan segala bantuan yang kami peroleh, tumpuan kami sekarang adalah memastikan penduduk kampung yang terjejas mendapat bekalan air bersih untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang tangki dan tong air buat mangsa, boleh menghubungi talian 013-4035154 (Badrul Hisham) untuk berbuat demikian.

Pada 28 Julai lalu, kira-kira 300 penduduk terjejas akibat banjir dengan 58 mangsa daripada 19 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan bimbang risiko kepala air berulang.

Sebelum itu pada 4 Julai lalu, tiga nyawa terkorban selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang di sini.