Pahang tarik pelaburan RM20.5 bilion

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM20.5 bilion sehingga 31 Julai lalu yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah pelaburan itu melibatkan RM9.5 bilion pelaburan domestik manakala RM11 bilion pelaburan asing.

Menurutnya, pelaburan sejumlah itu boleh dicapai ekoran kestabilan politik dan pembangunan infrastruktur yang baik di Pahang sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal di negeri ini.

“Pada tahun lalu Pahang berjaya menarik minat pelabur untuk menanam modal di negeri ini di mana pada tahun lalu sebanyak RM10.5 bilion nilai pelaburan telah berjaya ditarik masuk.

“Tapi Alhamdulillah, tahun ini kita berjaya beroleh pelaburan sebanyak RM11 bilion dan angka ini sudah melebihi sasaran yang kita tetapkan iaitu RM18 bilion.

“Pencapaian ini membolehkan Pahang berada di kedudukan ketiga terbaik negeri di Malaysia berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya sesi perggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Beliau turut menyifatkan kestabilan Pahang dalam setiap aspek itu membuktikan bahawa pentadbiran negeri itu telah dipacu dengan baik dan berada di landasan yang tepat.

Katanya, kedudukan kewangan Negeri Pahang juga semakin kukuh berdasarkan peningkatan hasil dan pendapatan setiap tahun.

Wan Rosdy menjelaskan kutipan terus meningkat dan sasaran RM1 bilion diyakini mampu dicapai di mana setakat 27 Julai lalu, sebanyak RM841 juta telah berjaya dikutip.

“Sesungguhnya kutipan hasil ini tidak pernah sesekali membebankan rakyat tetapi sebaliknya tindakan meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan, kebocoran serta melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu telah membolehkan lebih banyak hasil diperoleh.

“Lebihan hasil ini pula Kerajaan Negeri akan kembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan, bantuan kebajikan, program-program pendidikan, projek pembangunan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai hutang negeri terhadap Kerajaan Persekutuan pula, Wan Rosdy memaklumkan bahawa daripada keseluruhan hutang yang berjumlah RM3.33 bilion, sebanyak RM1.307 bilion telah diluluskan untuk dihapus kira, manakala sebanyak RM1.115 bilion ringgit lagi telah diinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“ Ini bermakna hutang Kerajaan Pahang kepada Kerajaan Persekutuan hanya berbaki sebanyak RM908 juta ketika ini,” katanya.

Sementara itu, bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan pada bulan ini, Wan Rosdy mengajak semua pihak agar bersama-sama menghayati semangat pemimpin, para pejuang dan rakyat terdahulu yang berjuang melawan penjajah bagi membebaskan negeri ini daripada belenggu cengkaman penjajahan.

Katanya, jiwa anak-anak muda pada zaman kini juga perlu diisi dengan program-program kenegaraan agar semangat cintakan negara dan tanah air sentiasa terpahat dan bersemarak di dalam hati mereka.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Kembara Studio yang menerbitkan filem Mat Kilau yang telah menerima sambutan yang cukup luar biasa.

“Filem-filem berbentuk patriotisme seperti ini perlu dipergiatkan dan diperbanyakkan untuk tatapan generasi muda. Malah Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada penggiat seni yang berhasrat untuk menghasilkan filem-filem seumpama ini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kempen kibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang juga perlu dipergiatkan bagi menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan ini.

“Saya menyeru semua pemilik bangunan kerajaan, premis swasta dan premis perniagaan serta rumah kediaman di seluruh negeri ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Pahang bagi menyemai semangat patriotik dan cintakan negara,” katanya.