IKS sektor pelancongan di Pahang terima insentif

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A
KUANTAN - Insentif pengurangan kadar sewa menerusi majlis daerah antara bentuk bantuan yang disalurkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (IKS) dalam sektor pelancongan untuk pulih selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, insentif itu diberikan kerana Kerajaan Pahang tidak mempunyai kuasa untuk memansuhkan kutipan cukai taksiran kepada pihak terlibat.

“Kutipan cukai taksiran adalah bidang kuasa kerajaan Persekutaan dan sebarang pemansuhan perlu mendapat kelulusan daripada parlimen. Jadi kita sebagai kerajaan perlu mengambil pendekatan berlainan bagi membantu mereka.

“Antara bantuan yang kita telah lakukan sebagai contoh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memberi insentif pengurangan kadar sewaan sebanyak 50 peratus untuk tempoh empat bulan bermula Jun lalu. Pengurangan ini dibuat atas arahan kerajaan negeri bagi membantu IKS dalam daerah tersebut seperti hotel bajet dan restoran.

"Begitu juga beberapa majlis daerah seperti di Jerantut, Cameron Highlands dan Lipis yang memberikan insentif untuk membuat bayaran cukai secara beransur-ansur. Ini ketetapan yang boleh dilakukan yang tidak bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171)," katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Lee Chin Chen (PH-Bilut) ingin tahu jika kerajaan negeri bercadang memansuhkan kutipan lesen perniagaan dan cukai taksiran bagi IKS pelancongan yang terjejas akibat pandemik itu.

Mohd Sharkar memaklumkan Pahang sedang giat mempromosikan produk pelancongan di negeri ini dengan mengadakan pelbagai program di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, penganjuran program itu turut melibatkan agensi berkaitan antaranya di Arabian Travel Market yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mei lalu.

“Selain itu, kita juga penganjuran acara bertaraf antarabangsa di lokasi tarikan pelancong di beberapa lokasi di negeri ini,” katanya.

Pada perkembangan lain, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan sebanyak 5,164 hektar tanah diluluskan di bawah Skim Tanah Rakyat (STR) sejak pelaksanaannya tahun 2021 hingga 30 Jun lalu.

Katanya, kelulusan 83 STR itu membabitkan semua daerah kecuali di Rompin, Bera dan Bentong.

“SKT adalah suatu bentuk pembangunan tanah berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang boleh dibangunkan sebagai lot kediaman atau aktiviti pertanian dengan matlamat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.

“Jadi, kita lihat pelaksanaan SKT ini bersifat serampang dua mata iaitu rakyat mendapat tanah untuk dibangunkan manakala kerajaan negeri boleh meningkatkan kutipan hasil melalui bayaran cukai tanah oleh pemilik tanah.

“Jadi, kepada daerah yang tidak mempunyai SKT mereka boleh memohon dan kerajaan Pahang akan mempertimbangkannya,” katanya.