Juruterbang sempat kirim kod panggilan kecemasan

Pegawai dan anggota keselamatan melakukan kerja-kerja mengeluarkan mayat jurulatih penerbangan yang maut selepas pesawat ringan jenis Piper 28 terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng malam Isnin. - Foto Bernama
Pegawai dan anggota keselamatan melakukan kerja-kerja mengeluarkan mayat jurulatih penerbangan yang maut selepas pesawat ringan jenis Piper 28 terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng malam Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jurulatih penerbangan pesawat ringan Piper 28 sempat mengirim kod panggilan kecemasan (mayday) sebelum terputus hubungan pada Isnin.

Syarikat penerbangan, BATS Aviation Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan panggilan kecemasan itu dilaporkan pada jam 8.07 malam selepas tujuh minit berlepas dari landasan berhampiran.

"Pesawat PA28 (9M BAA) dimiliki oleh BATS Aviation bersedia memulakan penerbangn pada jam 7.50 petang dan berlepas dari Landasan 04 pada jam 8 malam.

"Krew BATS mengeluarkan panggilan kecemasan pada jam 8.07 sebelum terputus hubungan," katanya.

Menurutnya, dua juruterbang terlibat dalam kejadian itu yang mana salah seorang daripada mereka maut.

"Seorang lagi juruterbang dalam keadaan kritikal dan sedang menerima bantuan perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Kejadian itu dilaporkan kepada polis dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Punca nahas akan disiasat oleh pihak berkuasa terlibat," katanya.

Katanya, pihak BATS Aviation akan memaklumkan perkembangan lanjut kepada pihak media.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang jurulatih penerbangan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, disahkan maut selepas pesawat ringan Piper 28 yang berlepas dari Bats Aviation Sdn Bhd (BATS) terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng di sini.

Pada masa sama, ketua jurulatih penerbangan, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang terselamat dalam nahas itu sedang menerima rawatan akibat kecederaan di bahagian kepala dan badan.