CAAM, AAIB siasat insiden pesawat ringan terhempas di Ipoh

Pesawat ringan jenis Piper 28 yang dinaiki dua jurulatih terhempas dalam nahas di Ipoh.
Pesawat ringan jenis Piper 28 yang dinaiki dua jurulatih terhempas dalam nahas di Ipoh.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menyiasat insiden kemalangan melibatkan sebuah pesawat ringan di Ipoh, Perak.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkembangan tersebut amat menyedihkan.

"Saya dimaklumkan bahawa seorang juruterbang pesawat Piper 28 yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh telah disahkan maut.

"Manakala seorang lagi pembantu juruterbang kini dirawat di hospital akibat kecederaan di bahagian kepala. Takziah kepada keluarga mangsa.

"Pihak CAAM dan AAIB akan menyiasat insiden ini secara mendalam.

"Kejadian yang berlaku ini amat tragis dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengenal pasti punca kemalangan," katanya dalam kenyataan.

CAAM sebelum itu mengesahkan kemalangan berkenaan melibatkan pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji, berdekatan Medan Gopeng, Ipoh, Perak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnnya, Datuk Kapten Chester Voo, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Katanya, Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam.

"Jenis pesawat yang terlibat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA berkenaan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

"Seorang juruterbang maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima bantuan perubatan.

"Siasatan lanjut akan dilaksanakan ole Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016," katanya.