MOSTI gerak pasukan siasat penemuan serpihan roket di Sarawak

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menggerakkan pasukan siasatan khas pada Isnin untuk menyemak laporan penduduk di Pekan Sepupok Lama, Niah, Sarawak berkaitan penemuan serpihan objek di kawasan itu, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ini berikutan kemasukan semula serpihan (debris) roket Long March 5B milik China yang dikesan berlaku pada 12.55 tengah malam Sabtu lepas di sekitar Laut Sulu.

Beliau berkata, pasukan itu yang terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) akan bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk menjalankan siasatan mengenai laporan berkenaan.

"Setakat ini, pasukan LPTA dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah ke lokasi untuk menyemak penemuan serpihan objek berkenaan.

"Pasukan MYSA dan Bahagian Penguasa Angkasa akan menyusul bagi tujuan pengesahan. Pihak kementerian akan melaporkan hasil siasatan dalam jangka masa terdekat," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Graphjet Technology Sdn Bhd dengan Toyoda Trike Corporation dan Asia Development Capital Ltd di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah yang menjelaskan bahawa serpihan itu merupakan komponen roket pembawa kepada modul roket Long March 5B yang dilancarkan di China pada 24 Julai lepas.

"Apabila dah selesai melepaskan modul (roket) ke angkasa, sisa komponen itu akan mengorbit jatuh ke bumi, memasuki atmosfera dan terbakar, seterusnya pecah kepada kepingan halus dan melintasi ruang udara negara seperti yang dikesan berlaku,” katanya.

Adham turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengganggu proses siasatan selain tidak mendekati lokasi penemuan objek.

Pada Ahad, tular di media sosial rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching, Sarawak.

MYSA dilapor memaklumkan serpihan roket itu telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakannya turut melintasi ruang udara negara yang dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk di Sarawak. - Bernama