JAS siasat longgokan guni di Sungai Linggi

Longgokan bahan buangan yang disyaki buangan terjadual.
Longgokan bahan buangan yang disyaki buangan terjadual.
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah menyiasat longgokan buangan separa pepejal berwarna hitam di dalam guni yang dibuang secara haram di tebing Sungai Linggi di Kampung Barisan di sini pada Isnin.

Pengarah JAS Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon berkata, siasatan mendapati terdapat enam longgokan bahan buangan yang disyaki buangan terjadual yang dilupuskan secara haram di kawasan itu iaitu enap cemar jenis minyak dan habuk kayu beserta pasir tercemar dengan minyak yang diletakkan di dua lokasi.

"Terdapat sebuah tasik yang terletak 100 meter dari lokasi pertama dan 30 meter dari lokasi kedua.

"Kawasan kediaman terdekat adalah pada jarak satu kilometer, namun tiada air buangan yang dikesan mengalir ke tasik atau sungai berdekatan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Isnin.

Menurutnya, enam sampel telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

"Saya berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang kes ini.

"Saya memberi amaran keras kepada penjenayah alam sekitar dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap tindakan keji mereka," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.