Kes HFMD di Johor meningkat 81.6 kali ganda

Kes jangkitan HFMD di Johor semakin meningkat dengan 8,652 jumlah kes direkodkan setakat Sabtu lalu. Gambar kecil: Tian Soon
Kes jangkitan HFMD di Johor semakin meningkat dengan 8,652 jumlah kes direkodkan setakat Sabtu lalu. Gambar kecil: Tian Soon
A
A
A

BATU PAHAT - Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini semakin meningkat dengan 8,652 jumlah kes direkodkan setakat Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 81.6 ganda berbanding 106 kes yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 2,989 kes, Kluang (1,119), Tangkak (888), Batu Pahat (887), Segamat (775), Kota Tinggi (690), Pontian (578), Muar (330), Kulai (269) dan Mersing (127).

"Manakala kebanyakan kes HFMD yang direkodkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu 7,451 kes, diikuti kumpulan umur 7 tujuh hingga 12 tahun (1,033) dan selebihnya berumur lebih daripada 13 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, dua wabak aktif HFMD dilaporkan di Johor iaitu kedua-duanya melibatkan daerah Johor Bahru.

"Lokasi penularan wabak HFMD di negeri ini sehingga 30 Julai lalu melibatkan taska (46 wabak) diikuti rumah persendirian (22 wabak), tabika (14 wabak), tadika (sembilan wabak), prasekolah (sembilan wabak), sekolah rendah (tiga wabak), pusat jagaan harian (tiga wabak) dan lain-lain (dua wabak)," katanya.

Tambahnya, berdasarkan laporan situasi penyakit HFMD harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 29 Julai lalu, Johor antara lima negeri dengan kumulatif kes tertinggi membabitkan Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Sarawak.