Galakan sertai bidang usahawan

Mohd Salim (lima dari kiri) menyampaikan mokap cek RM212,500 bantuan Program Tuisyen Rakyat.
Mohd Salim (lima dari kiri) menyampaikan mokap cek RM212,500 bantuan Program Tuisyen Rakyat.
A
A
A

JEMPOL - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Belia dalam usaha menggalakkan penglibatan anak-anak pekebun kecil dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, menerusi program berkenaan, bantuan geran one off sebanyak RM15,000 akan diberi kepada setiap penerima.

"Daripada jumlah bantuan itu, RM5,000 diperuntukkan untuk latihan, bimbingan dan pemantauan.

"RM10,000 lagi diperuntukkan kepada pembelian mesin, peralatan, sewa premis dan pembelian bahan mentah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Hari Terbuka Risda Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di sebuah dewan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, program itu disasarkan kepada anak-anak pekebun kecil RISDA berusia antara 18 hingga 40 tahun dan mempunyai minat dalam bidang perniagaan.

Tambah beliau, setiap pemohon perlulah berdaftar dengan RISDA melalui penglibatan dalam Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR), menyertai Program Tenaga Kerja Pekebun Kecil (TKPK), mempunyai sijil Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) samada dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), tidak mempunyai pekerjaan tetap dan belum pernah menerima bantuan AET RISDA lain.

"Negeri Sembilan terpilih sebagai perintis bagi menjayakan program itu dengan menyasarkan seramai 100 peserta.

"Inisiatif baharu ini diwujudkan bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang

keusahawanan, peningkatan pengeluaran produk, menambah baik mutu, kualiti dan nilai produk bagi memenuhi permintaan pasaran," tambahnya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Jempol menjelaskan, bidang keusahawanan RISDA melibatkan lima jenis perniagaan utama iaitu makanan, bukan makanan, pertanian, perkhidmatan pemasaran dan perkhidmatan bukan pemasaran.

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan oleh RISDA untuk Program Tuisyen Rakyat dengan melibatkan 200 buah sekolah di seluruh negara.

Ujar Mohd Salim, program itu sebagai usaha meningkatkan kualiti dan taraf hidup generasi muda pekebun kecil melalui peningkatan akademik.

"Kita fokus kepada pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan keutamaan kepada lima subjek teras," katanya.

Selain itu, sebanyak 53 keluarga pekebun kecil terpilih telah menerima bantuan daripada Yayasan RISDA melibatkan peruntukan sebanyak RM53,000.