Segera laksana larangan lompat parti kepada ADUN

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

SHAH ALAM - Semua negeri perlu menyegerakan pelaksanaan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan dilaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, dengan pelaksanaan undang-undang serupa di peringkat negeri, larangan itu bukan sahaja terpakai kepada ahli Parlimen tetapi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Gesaan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar semua negeri melaksanakan undang-undang itu secepat mungkin kerana mahu wujudnya konsistensi peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Ahmad Martadha
Ahmad Martadha

Pada Rabu, Mohd Shafie mendesak agar kesemua kerajaan negeri meminda Undang-Undang Tubuh Negeri atau enakmen membabitkan larangan wakil rakyat bertukar parti selari kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti oleh Persekutuan.

Mohd Shafie Apdal berkata, tidak seharusnya pilihan diberikan kepada mana-mana negeri.

“Ia mesti (dilaksanakan semua negeri) dari segi undang-undang. Tapi saya yakin kita perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri yang ada untuk membolehkan RUU itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dapat dilaksanakan bukan hanya membabitkan ahli Parlimen bahkan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ada,” katanya.

Selain itu, Mohd Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna menambah, pihaknya melihat hukuman individu yang melompat parti dalam RUU ini tidak begitu berat.

“Tak begitu berat sangat persoalan dibangkitkan tentang seseorang itu melompat,” katanya.

Jelasnya, selepas individu terbabit melompat parti, dia boleh bertanding dan di manakah kaedah bagi memastikan untuk menghukumnya.