Semua negeri perlu laksana RUU Anti Lompat Parti

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua negeri perlu melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti secepat mungkin.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tidak seharusnya pilihan diberikan kepada mana-mana negeri.

“Ia mesti (dilaksanakan semua negeri) dari segi undang-undang.

“Tapi saya yakin kita perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri yang ada untuk membolehkan RUU itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dapat dilaksanakan bukan hanya membabitkan ahli Parlimen bahkan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Mohd Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna menambah, pihaknya melihat hukuman individu yang melompat parti dalam RUU ini tidak begitu berat.

“Tak begitu berat sangat persoalan dibangkitkan tentang seseorang itu melompat,” katanya.

Jelasnya, selepas individu terbabit melompat parti, dia boleh bertanding dan di manakah kaedah bagi memastikan untuk menghukumnya.

“Maka dengan itu saya cadangkan supaya satu penggal kepada Yang Berhormat (ini) tidak boleh bertanding. Bukannya berat sangat (hukuman),” tegasnya.