Tiga laporan polis terhadap kumpulan provokasi

Sebahagian daripada penyokong Najib hadir ke IPD Sabak Bernam bagi membuat laporan terhadap kumpulan berpakaian baju T PH yang mempamerkan karikatur berupa badut menyerupai Najib.
Sebahagian daripada penyokong Najib hadir ke IPD Sabak Bernam bagi membuat laporan terhadap kumpulan berpakaian baju T PH yang mempamerkan karikatur berupa badut menyerupai Najib.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebanyak tiga laporan polis dibuat terhadap kumpulan berpakaian baju T Pakatan Harapan yang mempamerkan karikatur berupa badut menyerupai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis dibuat kira-kira jam 3 petang tadi di Balai Polis Sungai Besar diketuai penganjur yang juga Pengarah Program Sabak Bernam Bersama Bossku, Ahmad Jais Zohdi dan dua saksi kejadian iaitu Mohamed Iqbal Khalib, 45, dan Jamaluddin Simat, 49.

Peguam Kluster Perundangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, laporan polis itu dibuat berikutan tindakan provokasi dicetuskan penyokong-penyokong PH pada Program Sabak Bernam Bersama Bossku, Ahad lalu.

Menurutnya, provokasi itu berniat jahat ekoran tindakan mereka memegang sepanduk 2.6 bilion dan karikatur badut menyerupai wajah Najib semasa lawatan Ahli Parlimen Pekan itu ke Sabak Bernam, Ahad lalu.

"Program yang dihadiri Najib telah dimaklumkan kepada pihak polis dan berlangsung secara aman, cuma ada pihak tidak bertanggungjawab hadir semata-mata untuk melakukan provokasi.

"Kita lihat provokasi ini berniat jahat dan ingin mencetuskan keadaan huru-hara serta mengganggu ketenteraman awam dalam masa yang sama saya yakin dan percaya tujuan utama mereka ialah untuk menjatuhkan maruah serta juga reputasi Najib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Mohd Imran berkata, beliau berterima kasih kepada penyokong Najib kerana tidak dipengaruhi dengan provokasi dicetuskan pihak terbabit.

Bagaimanapun, katanya, provokasi itu dimuat naik di media sosial dan menjadi perhatian ramai.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan gambar karikatur itu semestinya ia berniat untuk memalukan dan menjatuhkan reputasi Najib sebagai bekas perdana menteri," katanya.

Selain itu, katanya, tindakan mempamer karikatur itu seolah-olah menghina keputusan mahkamah yang menetapkan karikatur ini tidak sepatutnya dipamerkan dan ditayangkan di khalayak ramai di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ini termasuk juga sepanduk RM2.6 bilion yang telah pun dibawa ke mahkamah... biarlah mahkamah membicarakan dan janganlah kita pula mempersoalkan," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa kesal berikutan tindakan provokasi itu sendiri diketuai ADUN Sabak, Ahmad Mustain Osman.

"Saya kecewa apabila seorang wakil rakyat atau ADUN kerajaan yang ada pada hari ini membuat provokasi seperti ini.

"Saya pun tak hairan dan mungkin mereka tengah berlatih untuk menjadi pembangkang semula.

"Buatlah selalu, sebab selepas ini mereka akan jadi pembangkang. Sebagai ADUN kerajaan sepatutnya tidak buat tindakan seperti ini," katanya.

Justeru tegas beliau, polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan tegas supaya tidak lagi berlaku perkara sebegini

"Kita berharap polis mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang sedia ada," katanya.

Mengulas mengenai laporan polis itu, Ahmad Mustain ketika ditemui berkata, beliau tidak mahu memanjangkan perkara itu

Ditanya berhubung tindakan dilakukannya seperti pembangkang, Ahmad Mustain berkata, beliau tidak melakukan provokasi sebaliknya sebagai bantahan terhadap kehadiran Najib yang mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya dalam programnya bersama rakyat.

"Dalam perjumpaan itu juga ada ucapan provokasi yang mengatakan kerajaan PH hancing dan juga menyuruh minum air minyak sawit," katanya.