JAS Terengganu terima 203 aduan pembakaran terbuka tahun lalu

Pembakaran terbuka di tempat pembuangan sampah haram merupakan antara yang direkodkan JAS Terengganu.
Pembakaran terbuka di tempat pembuangan sampah haram merupakan antara yang direkodkan JAS Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pembakaran terbuka merupakan antara aduan berkaitan pencemaran udara yang paling banyak diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu dengan 203 aduan direkodkan sepanjang tahun lalu.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, bagi tahun ini pula pihaknya sudah menerima 48 kes aduan yang sama bagi tempoh enam bulan pertama.

Menurutnya, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes pembakaran terbuka paling tinggi yang direkodkan diikuti Kemaman, Dungun, Marang, Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

“Punca utama berlakunya pembakaran terbuka adalah sikap suka membakar sampah sarap di kawasan kejiranan seperti taman perumahan, kediaman kampung dan bandar serta di tempat pembuangan sampah haram.

“Selain itu, kebakaran belukar, hutan akibat pembersihan kawasan atau cuaca panas dan kering, pembakaran sisa tumbuhan oleh pekebun kecil serta pesawah selain membakar sisa binaan di tapak binaan turut menyumbang kepada kes ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya menghentikan amalan membakar sampah sarap yang dihasilkan di rumah sebaliknya mengurus sampah dengan lebih berhemah seperti pengasingan buangan, kitar semula dan menjadikan sampah organik kepada bahan baja.

Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak mencetuskan atau menyebabkan kebakaran terutamanya semasa cuaca panas dan kering seperti membuang puntung rokok yang masih berbara atau membiarkan unggun api tanpa dipadamkan di kawasan hutan.

Ramli berkata, pencegahan penting kerana pembakaran terbuka boleh menyebabkan udara tercemar lalu mengganggu kesihatan dan mencetuskan penyakit seperti lelah, bronkitis, alahan, radang paru-paru, sakit mata dan kulit terutamanya kepada bayi, kanak-kanak, orang tua serta pesakit lelah.

”Ia juga boleh menyebabkan jerebu. Kesannya membahayakan pengguna jalan raya, pesawat penerbangan dan kapal-kapal kerana jarak penglihatan berkurangan selain menjejaskan ekonomi setempat serta mengganggu aktiviti harian,” katanya.

Jelas beliau, antara kesan lain akibat pembakaran terbuka adalah kemusnahan hutan, harta benda, tanaman dan kepelbagaian biologi menjejaskan keharmonian komuniti setempat akibat gangguan asap dari pembakaran sampah oleh jiran.

“Mereka yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM2,000 bagi setiap longgokan dan tindakan mahkamah dengan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jadi kita harap masyarakat peka dengan perkara ini dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti pembakaran terbuka bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.