MAINS bakal tubuh pusat pemulihan akidah

Abdul Aziz (tujuh dari kiri) bersama tetamu dan individu yang terlibat dalam konvensyen berkenaan pada Khamis.
Abdul Aziz (tujuh dari kiri) bersama tetamu dan individu yang terlibat dalam konvensyen berkenaan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menubuhkan sebuah Pusat Pemulihan Akidah yang kini dalam peringkat penyelidikan di bawah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, setakat ini individu yang disabit dengan kesalahan-kesalahan syariah dihantar ke pusat pemulihan di Selangor dan MAINS merasa perlu diwujudkan satu pusat yang hampir sama di Negeri Sembilan.

"... Dan kesalahan-kesalahan itu kita akan lihat mungkin lebih fokus kepada kesalahan akidah dengan tujuan untuk memperbetulkan serta mendidik balik pesalah-pesalah ini untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

"Bagaimanapun, perkara ini masih lagi di peringkat permulaan dan penyelidikan bersama Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijalankan dalam tempoh setahun dan kini sudah hampir enam bulan ia berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan Kali Ke-6 (KONVEP 6) tahun 2022 pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Datuk Abas Nordin.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menjelaskan modul dan hal berkaitan dengan usaha itu masih di peringkat awal untuk diperincikan.

"Bagi membuktikan komitmen ini, sejumlah dana telah disalurkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan bagi menjalankan penyelidikan berkaitan penubuhan pusat pemulihan itu di negeri ini.

" Penyelidikan ini penting bagi memastikan hukuman alternatif berbentuk pendidikan dan pemulihan di pusat pemulihan dapat direalisasikan selain pelaksanaan Perintah Kehadiran Wajib (PKW). Saya menjangkakan pusat ini ditubuhkan dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Abdul Aziz berkata, tema konvensyen pada kali ini iaitu “Perintah Kehadiran Wajib (PKW): Evolusi Hukuman Dalam Perundangan Jenayah Syariah” secara tidak langsung menggambarkan bahawa Sistem Perundangan Jenayah Syariah dilihat semakin matang dalam mendepani arus cabaran semasa.

"Konvensyen ini tidaklah dilihat hanya sebagai memenuhi program dwi tahunan sahaja, bahkan satu langkah awal yang drastik telah diambil bagi memastikan Hukuman Perundangan Jenayah Syariah diurus dan dilaksanakan dengan lebih dinamik.

" Undang-undang tidak boleh bersifat statik dan jumud, ia mesti dinamik dan berkembang mengikut peredaran masa.

"Oleh itu, MAINS sedia membantu dalam usaha memperkemas dan memperkasakan undang-undang syariah khususnya di negeri ini," katanya.