Prestasi ekonomi Malaysia masih utuh

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SECARA keseluruhannya, prestasi ekonomi Malaysia masih utuh, dicerminkan oleh trajektori positif yang dicatatkan oleh beberapa petunjuk ekonomi utama pada Mei 2022 berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peralihan kepada fasa endemik dan tindakan kerajaan yang berkesan dalam pemulihan ekonomi juga telah mempengaruhi prestasi jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2022.

Katanya, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 33.6 peratus kepada RM228.4 bilion daripada RM170.9 bilion pada Mei 2021.

"Eksport meningkat sebanyak 30.5 peratus kepada RM120.5 bilion, manakala import melonjak sebanyak 37.3 peratus kepada RM107.9 bilion,” katanya dalam kenyataan untuk Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 7/2022 pada Khamis.

Menurut beliau, prestasi jumlah perdagangan negara meneruskan momentum pertumbuhan pada Jun 2022, dengan nilai RM270.4 bilion dan seterusnya merekodkan pertumbuhan 43.4 peratus daripada RM188.5 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sederhana pada 4.1 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan yang sama tahun lalu, disokong oleh kenaikan indeks pembuatan (6.9 peratus) dan indeks elektrik (2.8 peratus).

Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini diraikan secara penuh meriah dan berskala besar selepas mengalami dua tahun langkah pembendungan sosial dan ekonomi yang ketat mendorong jualan perdagangan borong dan runcit melonjak 19.9 peratus tahun ke tahun kepada RM129.8 bilion pada Mei 2022.

"Pertumbuhan tersebut disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat sebanyak RM13.0 bilion atau 29.9 peratus kepada RM56.3 bilion.

"Ini diikuti oleh perdagangan borong dan kenderaan bermotor, masing-masing melonjak 11.7 peratus kepada RM59.6 bilion dan 20.1 peratus kepada RM13.9 bilion,” katanya.

Mengenai indeks harga, katanya, harga makanan yang lebih mahal telah menyebabkan inflasi naik lebih tinggi kepada 2.8 peratus pada Mei 2022 kepada 126.6 berbanding 123.1 dalam bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan keseluruhan inflasi adalah dipengaruhi terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.2 peratus) berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya yang merekodkan peningkatan tertinggi sejak November 2011.

Beliau berkata, pada Jun 2022, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia kekal tumbuh dua digit pada kadar 11.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022 berbanding 11.0 peratus pada April 2022 manakala IHPR pada Jun 2022 menyederhana kepada 10.9 peratus berbanding 11.2 peratus yang direkodkan pada Mei 2022.

Mohd Uzir berkata, Indeks Pelopor (IP) pada Mei 2022 meningkat sebanyak 2.2 peratus kepada 111.2 mata selepas mencatatkan negatif 0.5 peratus pada April 2022, menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia yang lebih baik dan menggalakkan.

"Mengambil kira perkara ini, Malaysia optimis bahawa pemulihan ekonomi akan terus berdaya tahan dalam tempoh tujuh bulan akan datang bagi tahun 2022, dengan pengurusan inflasi yang berkesan oleh kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” katanya. - Bernama