[VIDEO] Pinda akta kawalan kanabis, hem bergantung hasil kajian KKM

Gambar hiasan - Gambar kecil: Noor Azmi
Gambar hiasan - Gambar kecil: Noor Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung kawalan kanabis dan hem termasuklah mewujudkan tafsiran berbeza bagi dua-dua tumbuhan itu bergantung kepada hasil dapatan Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis Dan Ketum Bagi Tujuan Perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Jemaah Menteri akan membuat keputusan selepas menerima hasil dapatan jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan mengambil kira aspek perundangan, sosiobudaya, kesihatan, ekonomi, hukum syarak dan sebagainya.

“Berhubung cadangan untuk membeza antara kanabis, kanabis perubatan dan hem dari aspek perundangan, perkara ini adalah bergantung kepada hasil dapatan Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis Dan Ketum Bagi Tujuan Perubatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 13 April 2022 dan seterusnya keputusan Jemaah Menteri terhadap hasil dapatan tersebut.

“Jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan dengan keanggotaannya terdiri daripada semua kementerian dan agensi berkaitan termasuklah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertanggungjawab untuk mengkaji serta merangka hala tuju pembangunan industri kanabis dan ketum bagi tujuan perubatan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang memintanya menyatakan status perkembangan terkini kebenaran dan penggunaan kanabis perubatan di Malaysia untuk membentuk perbezaan antara kanabis, kanabis perubatan dan hem dalam perundangan serta tadbir urus negara.

Tambah Noor Azmi, KKM juga tidak menolak kajian terhadap keberkesanan kanabis perubatan malah sekiranya ada keluaran yang berkaitan perubatan kanabis yang telah diluluskan penggunaannya di negara luar, syarikat berkenaan juga boleh mendaftarkan keluaran tersebut di Malaysia.

“Sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk menggunakan keluaran (ubat) yang mengandungi ekstrak kanabis bagi tujuan perubatan, pihak berkenaan boleh mengemukakan permohonan pendaftaran keluaran tersebut kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan seterusnya untuk dipasarkan di Malaysia,” katanya.

Ujarnya, KKM ingin menekankan bahawa Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 yang mengawal selia penggunaan ekstrak kanabis bagi tujuan perubatan atau penyelidikan atau percubaan klinikal tidak menghalang pengimportan, penjualan, pembekalan, pengilangan keluaran mengandungi ekstrak kanabis bagi tujuan tersebut selagi mana aktiviti tersebut dilakukan dengan mematuhi undang-undang.