Kutipan sampah dalam sungai pernah cecah 80 tan sebulan: MBJB

(Gambar kecil: Noorazam) Tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat antara faktor sampah sarap terus dibuang ke dalam sungai di bandar raya ini.- Gambar hiasan
(Gambar kecil: Noorazam) Tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat antara faktor sampah sarap terus dibuang ke dalam sungai di bandar raya ini.- Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat antara faktor sampah sarap terus dibuang ke dalam sungai di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Norazam Osman berkata, ia terbukti apabila jumlah kutipan sampah sarap dikutip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di beberapa sungai di bandar raya ini pernah mencecah hingga 80 tan sebulan.

Menurutnya, purata sampah yang dikutip di beberapa sungai utama, anak sungai serta saliran parit di bandar raya ini dianggarkan sebanyak 50 tan setiap bulan.

"Masalah sampah yang dibuang ke sungai-sungai di bandar raya ini konsisten malah tiada pengurangan meskipun pelbagai langkah sudah dilaksanakan selain aktiviti kesedaran.

"Hampir kebanyakan sampah sarap yang dikutip adalah plastik sampah hitam yang siap diikat menandakan segelintir masyarakat menganggap sungai sebagai tong sampah mereka," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis MBJB, Datuk Mohamad Dolmat dan Timbalan Setiausaha MBJB, Nazatul Shima Mohamad.

Sebelum itu, Mohd Noorazam menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBJB bersama Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Johor.

Mohd Noorazam berkata, MoU itu bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja pelengkap pencegahan banjir dan pembersihan sungai-sungai di bandar raya ini dilakukan dengan lebih cekap.

"Melalui MoU ini, MBJB akan melaksanakan kerja pelengkap bagi pencegahan banjir seperti pembersihan kiambang di parit pinjam; pembersihan sampah sarap dan penggalian di parit pinjam, sungai, Selat Johor dan kolam tadahan selain pembaikan tebing; penggantian dan pembaikan pagar keselamatan dan lain-lain mengikut keperluan dan keadaan semasa.

"Pelaksanaan kerja itu akan dilaksanakan di kawasan sungai, parit pinjam, Selat Johor dan kolam tadahan di bawah seliaan JPS Johor yang terletak di dalam kawasan pentadbiran MBJB.

"Bagi sungai ia membabitkan Sungai Tebrau,Sungai Skudai, Sungai Plentong, Sungai Tiram, Sungai Danga dan Sungai Melayu. Bagi parit pinjam pula membabitkan Parit Pinjam Kampung Pasir, Parit Pinjam Kampung Sri Jaya dan Parit Pinjam Kampung Sri Serdang manakala Selat Johor pula membabitkan Pantai Lido, Pantai Stulang dan Pantai Senibong," katanya.