RUU Anti Lompat Parti hentikan ‘si pencatur kuasa’ - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dilihat tepat pada masanya untuk menghentikan kuasa ‘si pencatur kuasa’ daripada terus bermaharajalela.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, ini kerana sikap tidak bermoral ini memberi persepsi negatif terhadap sistem demokrasi negara.

“Inilah permulaan (kepada) penolakan sistem politik yang membenarkan si pencatur kuasa untuk terus bermaharajalela. Inilah juga permulaan untuk kita mengembalikan semua kuasa kepada rakyat. Naratifnya rakyat yang berkuasa, bukan si pencatur kuasa.

“Sebab itulah, kita perlu menghentikan segala jenis politik lapuk terutamanya melibatkan mereka yang ingin terus berkuasa dan sewenang-wenangnya boleh membeli undi,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam masa sama turut mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi fokus kepada ‘rumah yang sedang terbakar’ berbanding memikirkan persoalan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang baharu kepada Perdana Menteri iaitu teruskan membela rakyat, usah fikirkan soal PRU, betulkan negara dahulu bukan PRU.

“Rumah kita, Malaysia sedang terbakar, dihimpit dengan pelbagai masalah baharu seperti inflasi, kos sara hidup dan sistem yang perlu ditambah baik.

“Apabila rumah terbakar, kita yang diberikan mandat oleh rakyat ini perlu fokus bersama pastikan kebakaran dapat dikendalikan dulu,” katanya.