Kehilangan Ashraf: Lakon semula pergerakan sebelum hilang

A Halim
A
A

GOPENG - Seorang Renjer Jabatan Perhutanan Negeri Perak menyifatkan kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail (GUT), Mohammad Ashraf Hassan, 29, sebagai misteri yang sukar dirungkai.

A Halim Ngah Ismail, 50, berkata, dia sendiri menemui jalan buntu berikutan tiada sebarang petunjuk yang ditemui hingga memaksa dia membuat simulasi semula pertandingan itu.

"Secara peribadi, ia suatu misi yang sukar apabila pencarian berdasarkan gambar dan saksi gagal menemui sebarang petunjuk pun meskipun menggunakan anjing pengesan.

"Keadaan itu memaksa kita mengadakan simulasi semula pertandingan berpandukan saksi yang bersama mangsa. Kehilangannya ini dilihat pelik apabila lokasi terakhirnya berhampiran dengan kampung," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, saksi mengakui Ashraf bergerak 'laju' melintasi kawasan check point 10, lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Saya menyertai pelbagai operasi untuk mengesan peserta pendakian yang tersesat mahupun yang memerlukan pertolongan, tetapi operasi kali ini betul-betul menguji kepakaran dan ketabahan semua pihak yang terlibat.

"Atas inisiatif sendiri, pencarian dilakukan tengah malam hingga awal subuh bersama ahli keluarga dan pihak yang terlibat, kami bersama pendaki lain sangat mengharapkan agar mangsa berjaya ditemui semula," katanya.

Katanya, misi itu juga adalah pengalaman barunya apabila menyertai operasi terbesar melibatkan pelbagai agensi penyelamat bersama dengan aset-aset tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu mimpi Ashraf di Gua Tempurung

Operasi mencari Ashraf diteruskan

Penganjur GUT terus cari Acap

Sementara itu, A Halim berkata, pencarian yang masuk hari ke-10 itu turut menarik pelbagai pihak termasuk paranormal untuk membantu mengesan mangsa yang kononnya telah 'disorok' di alam lain.

Difahamkan anak murid 'Raja Bomoh Politik', Ibrahim Mat Zin turut menyertai pada hari ketiga operasi, bukan menggunakan buah kelapa sebaliknya tanduk seladang yang dibawanya sendiri.

"Itu adalah sebahagian usaha paranormal yang turut membantu dalam pencarian ini.

"Pelbagai ritual dapat dilihat sepanjang operasi ini berlangsung ada yang membawa pedang, tepuk pokok besar untuk berkomunikasi dan sebagainya.

"Apa-apa pun ritual yang dijalankan, kita mengharapkan doa daripada rakyat agar memudahkan operasi pencarian mangsa ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia