Alami penyakit misteri, Yantzen dalam proses berubat

Yantzen
Yantzen
A
A
A

BIARPUN masalah kesihatan masih mengganggu, penyanyi rock era 1980-an, Yantzen mengakui tetap bersemangat memenuhi undangan persembahan demi kelangsungan hidup.

Yantzen yang merupakan bekas vokalis kumpulan rock popular Rusty Blade itu berkata, sejak setahun lalu dia mengalami penyakit misteri yang mengakibatkan kesakitan dan kebas pada bahagian kaki terutamanya pada waktu malam.

Pemilik nama sebenar Yantzen Juniwan, 65, bagaimanapun bersyukur masih mampu melakukan aktiviti dan mengadakan persembahan.

“Alhamdulillah walaupun tidak sepenuhnya, tetapi kesakitan saya semakin pulih selepas berikhtiar dengan rawatan tradisional.

“Sebelum ini selama tiga bulan saya saya mengalami kesakitan pada bahagian kaki sehingga sukar nak melelapkan mata. Kesakitan yang datang secara tiba-tiba dan sukar untuk dijelaskan.

“Bagaimana pun saya bersyukur apabila melewati usia 60-an ini masih diberikan tenaga dan mampu bekerja walaupun diuji dengan sedikit masalah kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, penyanyi yang popular dengan lagu Insan itu menyedari ada tanggapan negatif dilemparkan terhadapnya berhubung penyakit misteri yang dialaminya itu.

Pun begitu, Yantzen tidak pernah terasa hati, sebaliknya mahu terus fokus mendapatkan rawatan.

“Bagi saya, setiap orang ada pandangan dan andaian mereka masing-masing. Itu lumrah dan sifat manusia.

“Biarpun ada yang melemparkan kata-kata kurang enak, tetapi dalam masa sama masih ramai yang memberikan sokongan dan ada bersama saya.

“Saya reda dengan penyakit yang diuji. Apa yang penting saya teruskan usaha untuk dapatkan rawatan tradisional dan alhamdulillah semakin pulih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yantzen bakal menjayakan konsert Semangat Zaman - 20th Anniversary yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September depan.

Konsert istimewa yang turut menampilkan artis rock legenda tanah air seperti Datuk Nash dari kumpulan Lefthanded; Joey (Bumiputera Rockers); Jatt (Black Dog Bone), Rahmad (Mega); Bandi (Amuk); Muss (May) dan Aris Ariwatan itu adalah bersempena ulang tahun ke-20 album Semangat Zaman yang pernah diterbitkan pada 2004.

“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini tetapi dalam masa saya berserah pada ALLAH berkaitan kesihatan dan keupayaan saya menjayakan persembahan berkenaan. Saya akan cuba lakukan yang terbaik.

“Apa yang pasti saya akan tampil dengan lagu-lagu yang membawakan lirik-lirik positif berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert itu di Permai Golf & Country Resort, Shah Alam pada Selasa.