Sidang khas Dewan Negara bahas usul pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. - Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang khas Dewan Negara berlangsung pada Rabu bagi membahaskan usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, beliau dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah mustahak untuk mengadakan mesyuarat khas sebelum tarikh persidangan Dewan Negara bagi faedah orang ramai.

"Mesyuarat khas ini adalah untuk mempertimbangkan bagi pihak Majlis memutuskan usul pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 selama lima tahun mulai 31 Julai 2022," katanya ketika pemasyuran Yang Dipertua Dewan pada persidangan khas itu.

Bagaimanapun, Rais memberi teguran agar Dewan Negara perlu dimaklum dan diberikan ruang serta notis dengan masa yang mencukupi supaya Dewan Negara tidak dianggap sebagai pelengkap kepada hajat atau matlamat mana-mana pihak.

Menurut takwim Parlimen, Dewan Negara akan memulakan persidangan pada 8 Ogos sehingga 16 Ogos.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika membentangkan usul tersebut berkata subseksyen Subseksyen 4(5) perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

"Peruntukan subseksyen 4(5) Akta ini, memberi ruang masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kerana siasatan kes-kes yang melibatkan kesalahan keselamatan terutamanya jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan," katanya.

Beliau juga memohon maaf kepada Rais dan seluruh ahli Dewan Negara kerana terpaksa meminta untuk mengadakan sidang khas itu kerana tempoh akta tersebut akan tamat pada Ahad ini serta yakin usul tersebut akan mendapat sokongan senator.

Semalam, usul itu diluluskan Dewan Rakyat setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir. - Bernama