Banglo terbengkalai bertukar galeri

Bahagian kedua galeri dinamakan Warisan menceritakan penerokaan beberapa seni binaan warisan dan sejarah pembinaan 59 banglo di Bukit Bendera.
Bahagian kedua galeri dinamakan Warisan menceritakan penerokaan beberapa seni binaan warisan dan sejarah pembinaan 59 banglo di Bukit Bendera.
A
A
A

GEORGETOWN - Penang Hill Gallery@Edgecliff merupakan sebuah banglo tiga tingkat yang terbengkalai, dahulunya dikenali sebagai Braeside dan kini dinamakan sebagai Edgecliff.

Banglo yang terletak di tebing bukit itu diubah suai gaya Art Deco oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) untuk dijadikan sebuah pusat pendidikan dan galeri warisan.

Bahagian atas bumbung banglo itu menyajikan pemandangan 270 darjah yang mengagumkan, merangkumi Selat Pulau Pinang dan dari pelabuhan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Banglo yang direka bentuk oleh pemiliknya iaitu arkitek Joseph Charles Miller dibina sejak tahun 1901, namun dijadikan rumah rehat setelah dimiliki oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pada 1939 selepas Miller meninggalkan Pulau Pinang.

Penang Hill Gallery@Edgecliff yang dibuka secara rasmi pada 8 Julai lalu merupakan tarikan pelancongan terbaharu di Bukit Bendera.

Galeri itu dikelilingi oleh hutan hujan yang terletak di dalam Rizab Biosfera Bukit Pulau Pinang.

Lokasinya yang ideal menyajikan pemandangan menakjubkan menghadap ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Georgetown dan bandar Air Itam.

Galeri turut dilengkapi dengan ciri mampan seperti panel solar, sistem tadahan hujan dan sensor pencahayaan gerakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihara tenaga, selaras dengan matlamat kelestarian alam sekitar.

Penang Hill Gallery@Edgecliff terbahagi kepada empat bahagian yang disusun rapi iaitu Biodiversiti, Warisan, Funikular dan Budaya.

Setiap satu barang pameran mempunyai penerangan pendek dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Hiasan dalaman yang sangat selesa untuk pengunjung di Penang Hill Gallery@Edgecliff.
Hiasan dalaman yang sangat selesa untuk pengunjung di Penang Hill Gallery@Edgecliff.

Bagaimanapun, penerangan dalam bahasa lain turut disediakan, antaranya Mandarin, Tamil, Jepun dan Arab yang boleh diakses melalui imbasan kod QR menggunakan telefon bimbit.

Dengan hiasan dalaman menarik, pengunjung akan melalui terowong masa yang membawa mereka ke masa lalu iaitu pembukaan Bukit Bendera dan terciptanya funikular untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.

Bahagian pertama iaitu Biodiversiti, menyajikan informasi mengenai pelbagai flora dan fauna yang terdapat di Bukit Bendera.

Bukit Bendera adalah rumah kepada lebih 2,500 spesies flora dan fauna selain hidupan liar yang hidup bersama dalam hutan hujan berusia 130 juta tahun.

Bagi bahagian kedua iaitu Warisan menceritakan kesemua sejarah pembinaan 59 buah banglo yang terdapat di Bukit Bendera.

Di bahagian Funikular pula, pengunjung boleh mempelajari sejarah kereta api funikular Bukit Bendera selain kejayaan jurutera yang hebat dalam membina trek funikular di atas bukit tersebut sejak mula.

Mempunyai trek sepanjang 1,996 meter, ia juga menyediakan terowong funikular antara paling curam di dunia iaitu pada kedudukan 27.9 darjah.

Bahagian terakhir galeri menempatkan koleksi gambar masyarakat dan individu yang pernah tinggal di Bukit Bendera dari tahun 1950-an hingga hari ini.

Bahagian Funikular yang menyediakan informasi mengenai sejarah pembinaan kereta api funikular Bukit Bendera.
Bahagian Funikular yang menyediakan informasi mengenai sejarah pembinaan kereta api funikular Bukit Bendera.

UNESCO secara rasmi mengumumkan penyenaraian Rizab Biosfera Bukit Bendera (PHBR) sebagai tapak rizab biosfera negara yang terbaharu di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) pada mesyuarat The 33rd Session of the Man and the Biosphere Programme International Coordinating Council (MAB-ICC) yang diadakan di Abuja, Nigeria pada 13 September hingga 17 September 2021.

Penghargaan berprestij itu merupakan Rizab Biosfera UNESCO ketiga diisytiharkan di Malaysia selepas Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker di Sabah.