RM4.4 juta peruntukan naik taraf jeti nelayan

Razak ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.
Razak ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak RM4.4juta diperuntukan kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah Tabung Amanah Nelayan bagi naik taraf jeti-jeti nelayan bermula tahun lalu hingga kini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Razak Abdul Rahman berkata, kerja-kerja naik taraf itu bagi memastikan nelayan mendapat keselesaan terutama di kawasan jeti dan pengkalan nelayan.

Menurutnya, daripada jumlah itu RM3.23juta disalurkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bagi naik taraf balai nelayan dan sebagainya.

"Kementerian Pertanian dan Indusrti Makanan (MAFI) melalui peruntukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa melakukan kerja naik taraf.

"Segalanya yang dilakukan untuk kepentingan nelayan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas berkata, setakat ini 15 daripada 33 jumlah pengkalan jeti di negeri ini yang telah dilengkapi stor menyimpan peralatan.

Menurutnya, dua dalam pembinaan melalui Tabung Amanah Nelayan Negeri Melaka iaitu di Umbai, Jasin dan Balik Batu, Masjid Tanah.

"Manakala berbaki 16 buah akan dibina dalam tempoh tiga tahun.

"Kita juga akan membuat transformasi untuk beri pendedahan nelayan ceburi nelayan laut dalam kerana di Melaka belum ada nelayan laut dalam," katanya.