Negeri Sembilan peruntuk RM1.41 juta geran kepada JMB/MC

Aminuddin (tengah) ketika menyampaikan geran JMB/MC bagi tahun 2022 Majlis Bandaraya Seremban pada Isnin.
Aminuddin (tengah) ketika menyampaikan geran JMB/MC bagi tahun 2022 Majlis Bandaraya Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM1.41 juta dalam inisiatif baharu Bajet 2022 kepada Badan Pengurusan Bersama/ Perbadanan Pengurusan (JMB/MC) bagi membantu 282 skim strata kos rendah di negeri ini, tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif bantuan kewangan secara one-off bernilai RM5,000 itu dijangka dapat membantu mereka melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Kita semua maklum bahawa masalah yang sering melanda skim perumahan berstrata ialah kegagalan JMB/MC untuk memainkan peranannya bagi mengurus dan menyenggara harta bersama dengan baik.

"Hal ini merujuk kepada keengganan penduduk untuk memegang jawatan di dalam JMB/MC, masalah tunggakan yuran penyelenggaraan di kalangan penduduk, vandalisme terhadap harta bersama serta sikap lepas tangan pemaju di peringkat pengurusan JMB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai Majlis Penyampaian Geran JMB/MC bagi tahun 2022 Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Isnin.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak 113 skim strata kos rendah dalam kawasan MBS mendapat manfaatnya dengan jumlah peruntukkan bernilai RM565,000.

Aminuddin berkata, seperti di Seremban,Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBS giat memberi kesedaran kepada masyarakat umum terutamanya penduduk di skim perumahan berstrata akan kepentingan pembentukan atau penubuhan JMB atau MC.

"Bangunan bertingkat atau berstrata yang pesat membangun umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan ini serta boleh diklasifikasikan sebagai bangunan pencakar langit tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak ditadbir dan diurus dengan cekap dan diselenggara secara bersistematik oleh badan pengurusan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi COB MBS sentiasa memantau penubuhan JMB/MC bagi skim perumahan berstrata di bawah pentadbirannya melalui perkongsian data skim pemajuan berstrata yang baru daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta dan penerimaan aduan secara berkala," katanya.

Dalam pada itu beliau turut berharap penerima-penerima geran ini bersama-sama menghargai dan menjaga segala kemudahan yang diberi oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya supaya kemudahan yang disediakan dapat digunakan dalam jangka masa panjang.

"Penduduk perumahan strata juga diharap sentiasa menjaga keharmonian dan hidup dalam keadaan aman damai dan sejahtera selalu," katanya.