Johan Anugerah Nilam Kebangsaan baca 1,139 buku

Nur Arisya Qaisara dinobat sebagai Johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu.
Nur Arisya Qaisara dinobat sebagai Johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu.
A
A
A

IPOH - Membaca sebanyak 1,139 judul buku membolehkan Nur Arisya Qaisara Mohamad Mustafa, 12, dinobatkan sebagai johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu.

Murid Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang Terengganu itu mengakui gembira dengan pencapaian berkenaan hasil usaha selama enam tahun.

Menurutnya, minat membaca mula terpupuk sejak kecil lagi dan dia semakin cenderung menambah bacaan apabila memasuki alam persekolahan.

"Saya minat buku fiksyen dan novel. Ibu bapa, guru, rakan-rakan banyak mendorong saya sehingga bergelar Johan Anugerah Nilam Kebangsaan.

"Sebenarnya membaca ini banyak menambah pengetahuan dan kosa kata sama ada dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Itu membantu saya dalam peperiksaan, ujian dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Nilam Kebangsaan di Kompleks Beli-belah AEON Ipoh Klebang, di sini pada Isnin.

Anugerah kepada para pemenang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Dasar dan Kurikulum) Kementerian Pendidikan, Datuk Fkharuddin Ghazali.

Sementara itu, johan Anugerah Nilam Kebangsaan kategori Sekolah Menengah, Siti Fatimah Hoo Muhammad Aripin Hoo, 17, pula menyifatkan kemenangan tersebut hasil dorongan kakak yang juga merupakan ulat buku.

Fkharuddin (tengah) bersama pemenang Anugerah Nilam Kebangsaan selepas majlis penyampaian anugerah tersebut di Kompleks Neli-belah AEON Ipoh Klebang, Ipoh pada Isnin.
Fkharuddin (tengah) bersama pemenang Anugerah Nilam Kebangsaan selepas majlis penyampaian anugerah tersebut di Kompleks Neli-belah AEON Ipoh Klebang, Ipoh pada Isnin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan itu berkata, buku motivasi menjadi pilihan selain buku-buku lain.

Katanya, biarpun minat membaca, buku fizikal tetap menjadi pilihan berbanding e-buku kerana lebih puas dan selesa biarpun trend digital semakin meluas.

Sementara itu, lebih menarik lagi, Anugerah Nilam Kebangsaan turut diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang membaca buku.

Antara penerimanya, Ahmad Qayyim Afiq Arif Rahman Hakim, 17, dari SMK Badin, Tuaran, Sabah

Biarpun OKU penglihatan, minatnya membaca tidak pernah luntur di sebalik kekurangan fizikal dialami.

Jelasnya, sungguhpun serba kekurangan, guru-guru dan pihak sekolah sangat membantu menyediakan bahan bacaan braille.

Menurut Ahmad Qayyim, jumlah bacaan akan terus dipertingkatkan bagi menambah pengetahuan.