Usahawan Pulau Pinang berdepan cabaran besar

Reezal (tengah) sedang melihat produk ketika membuat lawatan di reruai selepas merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2022 pada Sabtu.
Reezal (tengah) sedang melihat produk ketika membuat lawatan di reruai selepas merasmikan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2022 pada Sabtu.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Usahawan di Pulau Pinang berdepan cabaran besar kerana berada dalam persekitaran sebuah bandaraya untuk menjalankan perniagaan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hanya usahawan di Pulau Pinang sahaja yang keseluruhannya menjalankan perniagaan di dalam kawasan yang dipanggil sebagai bandaraya iaitu di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurutnya, sehubungan itu, program Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2022 dianjurkan bagi menghimpunkan usahawan bumiputera Pulau Pinang serta pelbagai agensi dan jabatan.

"Himpunan Usahawan Bumiputera 2022 yang kita adakan ini sebenarnya cukup signifikan dan penting, lebih-lebih lagi buat usahawan yang berada di Pulau Pinang. Hanya usahawan di Pulau Pinang sahaja yang keseluruhannya berniaga dalam kawasan yang dipanggil sebagai bandaraya (MBPP dan MPSP).

"Ini bermakna, usahawan di Pulau Pinang berdepan dengan cabaran persekitaran sebuah bandaraya. Ia bukan mudah," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang 2022 di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan menubuhkan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) sejak 1977 untuk melaksanakan intervensi-intervensi yang boleh menyokong sosio-ekonomi masyarakat bumiputera di negeri ini.

"Ia meliputi tiga fungsi utama iaitu hartanah dan perumahan, pembangunan modal insan (pendidikan dan kemahiran) dan pembangunan ekonomi keusahawanan bumiputera.

"MPBPP ini juga membawa agenda kerajaan yang cukup besar iaitu agenda pemerkasaan bumiputera yang merupakan agenda nasional kita bersama. la bukan agenda yang harus didokong oleh masyarakat bumiputera sahaja malah limpahan manfaat agenda ini akan turut dirasai oleh semua Keluarga Malaysia," katanya.

Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Himpunan Usahawan Bumiputera 2022 anjuran MPBPP itu merupakan inisiatif serampang dua mata.

"Ia bukan sahaja menghubungkan usahawan dan agensi berkaitan, malah berupaya menjadi platform dalam aspek pembangunan usahawan menerusi konteks pembiayaan, pinjaman, latihan, kursus, premis perniagaan dan banyak lagi.

"Asasnya cukup mudah, jika bumiputera diperkasa, diperkukuh ekonominya, bangsa lain akan turut dibawa 'berlari dan memecut' bersama menuju matlamat sebuah negara maju, makmur untuk kita semua," katanya.

Tambah beliau, bermula 2020, MPBPP dimantapkan lagi dengan pengukuhan dan penambahbaikan ke atas peranan dan fungsinya yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Focus Group (JKFG) bagi mengukuhkan lagi agenda pemerkasaan bumiputera Pulau Pinang.

"Ia diterajui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat JKFG bagi menilai cadangan serta mempertimbang, melulus dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Pembangunan Bumiputera Pula Pinang 2021-2025.

"Bukan itu sahaja, kerajaan sekarang ini terus peka serta meningkatkan lagi usaha untuk membantu usahawan bumiputera yang berkelayakan serta berpotensi untuk maju ke hadapan dengan inisiatif dan program pembangunan usahawan yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKFG Keusahawanan, Ekuiti, Koperasi dan Kepenggunaan, Zolkifly Md Lazim berkata, program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara usahawan dan agensi yang berperanan membantu dalam aspek pembangunan usahawan.

Katanya, program tersebut dihadiri 400 usahawan dari pada pelbagai latar belakang dan peringkat perniagaan.

"Sebanyak 30 agensi dan jabatan terlibat dalam program ini, iaitu melalui pembukaan reruai dan memberi taklimat serta perkongsian di pentas utama. Seramai 30 orang usahawan turut diberi peluang untuk membuat pengenalan produk (product pitching) dalam sesi ini.

"Ia diadakan bagi memberi ruang dan peluang kepada usahawan terlibat untuk memperkenalkan syarikat atau produk serta perkhidmatan masing-masing. Seramai 15 orang usahawan yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Usahawan Bumiputera Pulau Pinang," katanya.