Pesara rugi RM202,500 terpedaya pelaburan saham tidak wujud

Nicole (kiri) bersama Ika menunjukkan laporan polis yang dibuat mangsa selepas kerugian RM202,500 akibat ditipu.
Nicole (kiri) bersama Ika menunjukkan laporan polis yang dibuat mangsa selepas kerugian RM202,500 akibat ditipu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian berjumlah RM202,500 selepas terpedaya dengan sebuah pelaburan saham tidak wujud.

Mangsa yang dikenali sebagai Ika, 61, dari Sikamat berkata, kira jam 2.30 petang pada 16 Jalu ketika berada di rumahnya, dia telah dijemput masuk ke dalam satu kumpulan telegram untuk menyertai pelaburan saham.

"Saya kemudian telah berhubung dengan seorang lelaki iaitu pentadbir telegram kumpulan pelaburan berkenaan dan bersetuju untuk menyertai pelaburan itu dengan memilih pakej satu.

"Menerusi pakej tersebut saya perlu melabur sebanyak RM1,000 dengan pulangan keuntungan RM10,000 dalam tempoh lebih kurang tiga jam," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang pada Jumaat.

Menurut Ika, dia telah membuat bayaran pertama RM1,000 ke dalam akaun bank seorang wanita sebelum membuat 10 kali lagi transaksi pelaburan kepada beberapa akaun berbeza bernilai antara RM5,000 hingga RM50,000 bermula 20 Jun hingga 30 Jun lalu.

"Bagaimanapun saya masih diminta membuat pembayaran sebanyak RM35,000, namun saya enggan membayarnya walaupun mereka mendakwa saya akan mendapat keuntungan bernilai RM1.5 Juta.

"Sehingga ke hari ini saya masih tidak dapat apa-apa pulangan wang atau keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.

"Justeru saya telah membuat semakan di Facebook berkenaan dan mendapati syarikat yang menguruskan pelaburan itu adalah tidak wujud. Kejadian ini menyebabkan saya mengalani kerugian berjumlah RM202,500," katanya.

Jelasnya, kesemua wang yang dilaburkan itu adalah wang pencennya dan laporan polis telah dibuat pada 6 Julai lepas di Balai Polis Sikamat supaya tindakan lanjut dapat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, mahu orang ramai tidak mudah terpedaya dengan pelaburan saham seperti itu yang menawarkan keuntungan tidak munasabah dalam tempoh singkat.

" Jangan mudah percaya dengan kata-kata manis ataupun tawaran yang tidak masuk akal. Semak dahulu kesahihan pelaburan yang ditawarkan daripada pihak bertanggungjawab," katanya.