Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia sokong cadangan cuti haid

Logo Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia. - Foto akaun Facebook rasmi Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia
Logo Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia. - Foto akaun Facebook rasmi Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia menyokong cadangan memberi cuti haid kepada semua pekerja wanita di negara ini.

Pengerusi bersama, Idawati Idrus dan Selvakumari Abraham berkata, menangani kedatangan haid dengan baik adalah sebahagian aspek penting dalam memastikan kesihatan reproduktif wanita.

“Jika hak reproduktif tidak dilindungi, ia akan menjejaskan kesihatan wanita dan menyumbang kepada masalah kekeluargaan pada masa depan.

“Kami berasa kecewa kerana pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang sepatutnya memperjuangkan hak-hak wanita mengaitkan kesakitan haid dengan implikasi ekonomi nasional.

“Janganlah Menteri KPWKM memainkan peranan Menteri Ekonomi yang mengutamakan ekonomi daripada hak-hak wanita. Kenyataan ini menunjukkan Menteri Wanita (KPWKM ) tidak sensitif terhadap keperluan wanita,” menurut mereka dalam kenyataan bersama, pada Khamis.

Pada Rabu, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan kerajaan sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan cuti haid sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40 di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago yang meminta komitmen dan jangkaan masa kajian itu akan diumumkan.

Dalam pada itu, mereka berkata, Menteri KPWKM juga perlu mencari isu utama yang menyebabkan kepada isu kemiskinan haid.

“Berkenaan cadangan pemberian subsidi tuala haid untuk menghapuskan kemiskinan haid, kami berharap pihak kementerian jangan selalu ‘memadam api’ apabila ada isu panas muncul.

“Isu pokoknya ialah gaji pekerja wanita terlalu rendah. Pengumuman Perdana Menteri bahawa gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 adalah satu langkah yang harus dipuji, tetapi ia masih jauh dengan gaji kehidupan (living wage) individu RM2,700 yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Jika Menteri Wanita ada niat untuk menyelesaikan kemiskinan haid, beliau harus memperjuangan gaji kehidupan untuk pekerja-pekerja wanita dan lelaki, jadi pekerja wanita mampu membeli tuala haid, ibu bapa mampu membeli tuala haid untuk anak-anak perempuan,” menurut kenyataan itu.

Tambah mereka dalam kenyataan itu, kerajaan mesti mengkaji isu kemiskinan haid secara holistik dari sudut sosio-ekonomi.

“Langkah pertama ialah buat cuti haid satu hak pekerja wanita, bukannya budi bicara majikan atau doktor panel,” menurut mereka menerusi kenyataan sama.