Hilang punca pendapatan selepas suami diserang strok

Rosnina (kiri) kehilangan punca pendapatan selepas suami, Mohd Ridzuan mengalami strok disamping menjaga Ramadhan yang terlantar di Jalan Pasir Berdamar, Teluk Intan.
Rosnina (kiri) kehilangan punca pendapatan selepas suami, Mohd Ridzuan mengalami strok disamping menjaga Ramadhan yang terlantar di Jalan Pasir Berdamar, Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN - Bagai jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang menimpa Rosnina Mohd Idar, 43, selepas suaminya, Mohd Ridzuan Amat Nasri, 41, mengalami serangan strok, masalah penglihatan dan pendarahan dalam otak sejak dua minggu lalu.

Ditambah pula, Rosnina perlu memberi tumpuan kepada anak lelakinya, Mohamad Ramadhan berusia dua tahun yang terlantar lumpuh akibat demam panas sejak berusia lapan bulan.

Menurutnya, keadaan suaminya yang tidak mampu berjalan menyebabkan dia kehilangan satu-satunya sumber pendapatan keluarga.

"Walaupun suami mengambil upah dengan membuat pelbagai kerja sebelum ini, pendapatan yang diterima mampu untuk kami membayar sewa rumah dan membeli barang keperluan.

"Melihat keadaan kini selepas suami tidak boleh bekerja tambahan perlu menjaga kedua ibu bapa yang uzur, saya berasa buntu kerana tiada sumber pendapatan lain.

"Saya berusaha berjimat dengan berikan air susu pekat kepada anak tetapi dia tidak mahu, dia hendak susu juga. Susu tepung pun saya kurangkan kuantiti kerana mahu berjimat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Pasir Berdamar di sini pada Khamis.

Sally (kiri) menyampai barangan keperluan kepada keluarga Rosnina ketika melawat di Jalan Pasir Berdamar di Teluk Intan.
Sally (kiri) menyampai barangan keperluan kepada keluarga Rosnina ketika melawat di Jalan Pasir Berdamar di Teluk Intan.

Rosnina berkata, selain dibelenggu masalah kewangan, dia perlu memikirkan tempat tinggal baharu.

"Kami menyewa sebanyak RM400 sebulan sejak empat tahun lalu dan kini mempunyai sebulan tunggakan.

"Tuan rumah mengetahui masalah yang dihadapi keluarga kami namun, dia hanya berdiam sahaja. Apa-apa pun kami kena bersedia dengan segala kemungkinan," katanya.

Dia yang tidak menerima sebarang bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengharapkan pelbagai pihak membantu keluarganya.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Econsave Langkap, Sally Wong Xue Ling berkata, dana sebanyak RM1,000 di bawah program Econsave Prihatin disampaikan selepas menerima makluman mengenai keluarga berkenaan.

"Kita beri barangan keperluan harian seperti makanan, barangan dapur, susu, lampin pakai buang.

"Diharapkan bekalan yang diberikan ini dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga ini yang hilang sumber pendapatan," katanya.