Saran adakan debat isu ladang durian Musang King di Gunung Inas

Asmirul Anuar Aris
Asmirul Anuar Aris
A
A
A

ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris menyarankan satu program debat mengenai ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling diadakan supaya semua pihak dapat mendengar apa jua penjelasan berhubung isu berkenaan.

Asmirul Anuar yang juga merupakan Setiausaha Amanah Kedah berkata, rakyat Kedah ingin mendengar sendiri penjelasan mengenai isu tersebut melalui debat yang disarankan diadakan secara langsung.

"Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menyatakan kesediaan untuk bersama dalam siaran langsung berkenaan. Sila jemput bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang boleh mewakili Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak selaku Setiausaha Politik beliau pada ketika itu.

“Mohon disiarkan secara langsung di televisyen supaya rakyat jelata dapat menilai sendiri apa sebenarnya yang berlaku mengenai isu ladang durian Musang King di Gunung Inas itu,” katanya pada Khamis.

Tambah Asmirul Anuar, beliau meminta supaya isu berkenaan diperjelaskan kepada rakyat jelata.

Asmirul Anuar turut mempersoalkan Muhammad Sanusi yang enggan mendedahkan semua nama terlibat dalam isu penanaman durian itu.

Beliau berkata, isu terbabit yang sewajarnya dibincangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah ditolak pula oleh Speaker DUN, pada Isnin.

“Kenapa? Adakah ia belum cukup serius untuk dibincangkan dalam sidang DUN.

“Adakah wajar untuk membincangkan pemasalahan rakyat negeri Kedah cuma sehari dalam sidang DUN. Adakah pihak Menteri Besar sudah ketandusan idea untuk menjawab pelbagai persoalan yang ingin kami kemukakan,” katanya.

Beliau berkata, tragedi banjir akibat kepala air di Baling merupakan perkara serius yang harus dipandang berat oleh semua pihak dan diambil teladan, peringatan serta tindakan undang-undang.

“Sekiranya tidak diselesaikan atau didedahkan dengan sewajarnya akan mengundang tragedi sama berulang," katanya.

Tambah Asmirul Anuar, beliau berharap Suruhanjaya Siasatan Diraja juga diadakan bagi menyiasat isu tersebut.