Pemandu treler mengaku tidak bersalah sebabkan kematian empat beranak

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian empat beranak, minggu lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian empat beranak, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis terhadap empat pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian empat beranak, minggu lalu.

Suhaimi Mohd Nor, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Hafiza Ishak.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa memandu treler jenis Hino secara berbahaya dan menyebabkan kematian Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Ipoh pada jam 2.55 petang, 13 Julai 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, NM Maganaraj Mithra menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Amir Kusyairi Mohamad Tanusi memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh kehilangan punca pendapatan kerana tidak lagi bekerja selepas insiden berkenaan.

"Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga, mempunyai seorang isteri dan lima orang anak yang paling kecil berusia dua tahun. Dalam kes ini tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Dalam nahas sekitar jam 3 petang, minggu lalu empat beranak yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam nahas tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.

Rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima kenderaan lain.