SPRM nafi lindung Muhyiddin, pilih kasih siasat kes

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa agensi itu tidak bertindak 'double standard' (pilih kasih) dalam melakukan siasatan mahupun cuba melindungi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saksi pendakwaan ke-25, Mohd Syahmeizy Sulong, 37, berkata demikian ketika perbicaraan kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Beliau turut menafikan, SPRM melindungi Muhyiddin ekoran tiada siasatan dibuat terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, biarpun berlaku pengeluaran wang dalam jumlah yang besar.

Sebaliknya beliau berkata, siasatan hanya menjurus kepada kes Syed Saddiq membabitkan pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kerana dilakukan tanpa kebenaran majlis pimpinan tertinggi Bersatu.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, sama ada dia mempunyai pengetahuan tentang pengeluaran wang oleh Tan Sri Muhyiddin, yang ketika itu Presiden Bersatu, saksi itu berkata tidak pasti.

Gobind: Kamu bersikap 'double standard' sebab tidak siasat Tan Sri Muhyiddin, tapi jika aduan daripada orang lain, kamu siasat.

Mohd Syahmeizy: Saya tidak setuju kerana siasatan saya hanya fokus kepada Syed Saddiq mengenai pengeluaran RM1 juta yang melanggar perlembagaan Bersatu.

Gobind: Tiada siasatan kerana kamu melindunginya?

Mohd Syahmeizy: Tidak.

Gobind: SPRM digunakan sebagai alat politik.

Mohd Syahmeizy: (tidak menjawab)

Gobind: Fikir baik-baik, sebab saya ada bawa rakaman cakera video digital (DVD). SPRM digunakan sebagai alat politik untuk ambil tindakan terhadap pihak-pihak tertentu?

Mohd Syahmeizy: Tidak.

Saksi ini juga menjelaskan bahawa pengeluaran wang oleh Muhyiddin digunakan untuk kegunaan parti, bukan untuk kepentingan peribadi.

Ini menyebabkan peguam menyoal balas dengan menyatakan bahawa saksi itu berbohong.

Di awal prosiding, Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Nor Fadhilah Mohd Salleh memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mendengar nama Muhyiddin disebut di dalam rakaman video Syed Saddiq yang dimainkan di mahkamah.

Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata, agak keliru dengan soalan Gobind pada prosiding lalu, disebabkan rakaman video itu hanya dimainkan seketika malah tidak mendengar rakaman secara keseluruhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.