Johor sedia semak elaun noja

Mohd Fared (kanan, belakang) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan MAINJ di sebuah hotel Batu Pahat.
Mohd Fared (kanan, belakang) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Bantuan MAINJ di sebuah hotel Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan negeri bersedia menyemak semula kadar bayaran elaun noja yang dibayar RM80 sebulan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, setakat ini dianggarkan terdapat lebih 800 noja berkhidmat di seluruh masjid dan surau.

Jelasnya, semakan semula kadar elaun terbabit cukup penting dalam usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan noja.

"Jumlah elaun noja akan diteliti semula, saya sendiri akan panjangkan kepada pentadbiran kerajaan negeri untuk membuat penambahbaikan dari segi elaun.

" Saya percaya bayaran RM80 sebulan sebelum ini, sudah agak lama dan perlu disemak bersesuaian dengan keadaan ekonomi pada masa sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penyerahan bantuan pendidikan MAINJ di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, MAINJ sentiasa memastikan kadar kutipan dan agihan zakat terus seimbang serta telus selain merangkumi keperluan asnaf.

"Jumlah agihan bantuan keseluruhan setakat Mei sebanyak RM153 juta. Keutamaan agihan zakat kepada asnaf yang menerima agihan adalah sebanyak RM35 juta.

"Menerusi skim bantuan pendidikan pula, ia diagihkan di peringkat rendah, menengah dan tertinggi iaitu bantuan persekolahan, bantuan madrasah tahfiz, bantuan pendaftaran institut pengajian tinggi (IPT), bantuan dermasiswa dan bantuan komputer riba," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fared turut meminta golongan terkesan dan terjejas pada masa kini agar berhubung dengan pejabat Kadi dan Amil Baitulmal di kawasan masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

"Sesetengah orang kita ini, mereka malu. Saya harap mereka ini berhubung dengan pejabat daerah, ketua kampung, pejabat Kadi di kawasan masing, selain merujuk Amil Baitulmal," katanya.