Kerajaan Perak akui kelemahan syarikat konsesi

Mohd Zolkafly dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
Mohd Zolkafly dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengakui terdapat kelemahan syarikat konsesi dalam melaksanakan kerja penyelenggaran longkang dan sampah di bandar yang menjadi punca banjir kilat berulang.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu akan ditambah baik dan diberi perhatian yang tinggi agar setiap konsesi terlibat melakukan tugas sesuai dengan bajet besar diperuntukkan.

Menurutnya, perkara itu juga menjadi isu yang sering dibangkitkan rakyat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing yang terkesan banjir.

"Kita sedar dan akui adanya kelemahan-kelemahan dari segi penyelenggaraan di kawasan bandar yang diberikan kepada syarikat konsesi.

"Perkara ini juga telah dibangkitkan Menteri Besar Perak atas banjir kilat yang berlaku di luar bandar dan sekarang yang kerap berlaku di bandar.

"Menjadi perhatian portfolio saya untuk menentukan pelaksanaan konsesi ini agar dapat diperhebat dan diperkasa selari dengan garis panduan dan peruntukan besar yang telah diberikan kepada mereka," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Amanah-Sungai Rapat) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, setakat ini, lebih RM100 juta telah diluluskan oleh kerajaan bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa 2 sebagai langkah mengatasi masalah banjir di bandar Ipoh.

Katanya, projek melibatkan kerja-kerja di anak sungai utama seperti Sungai Pinji yang akan dinaiktaraf serta didalamkan pada bahagian hilir bagi tujuan menurunkan paras air dan menyelesaikan masalah limpahan air Sungai Rokam dan Sungai Rapat.

"JPS juga sedang menjalankan kajuan reka bentuk terperinci RTB Sungai Rokam dan akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan memandangkan hasil kajian yang telah dibuat oleh perunding, total solution bagi RYB Sungai Rokam adalah bernilai RM20 juta," katanya.