Perak catat 689 kes penderaan kanak-kanak ketika Covid-19

Wan Norashikin ketika menjawab soalan dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
Wan Norashikin ketika menjawab soalan dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kes penderaan kanak-kanak di Perak ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 antara 2020 sehingga 2021 mencecah 689 kes.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, statistik berkenaan diperoleh berdasarkan maklumat yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 52 kes penderaan dilapor melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pada 2020, sebanyak 342 kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian dilapor kepada JKM Perak dan pada tahun lalu, bilangannya meningkat kepada 347 kes.

"Faktor utama berpunca daripada perbalahan keluarga terutama yang sedang mengalami krisis rumah tangga," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Leow Thye Yih (DAP-Pokok Assam) berhubung isu terkini penderaan kanak-kanak di Perak.

Wan Norashikin berkata, masalah kewangan dan penceraian yang menyebabkan ibu ditinggal juga dikesan mendorong kepada berlakunya penderaan.

Selain itu katanya, tingkahlaku dan sikap ibu bapa atau penjaga yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti kaki botol, judi, penagih dan terlibat dengan jenayah juga dilapor sebagai punca berlakunya penderaan.

"JKM telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu mangsa penderaan ini termasuklah memberi pemelihara dan perlindungan awal, membuat pemantauan dan lawatan susulan, menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling.

"Juga menyediakan perhidmatan sokongan kepada kes kanak-kanak hamil luar nikah dan yang menjadi penderaan seksual serta menyediakan bantuan kewangan antara RM250 sehingga RM500 bagi keluarga yang sanggup memberi penjagaan dan pemeliharaan kepada mangsa dera," katanya.

Setakat ini Perak mempunyai 113 pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar sementara 22 pusat belum lagi mendaftar dengan JKM.