Baca al-Quran sebelum belajar

SK Kubang Kiat bersama Persatuan Rumah Ngaji Kelantan memartabatkan bacaan ayat suci al-Quran dalam kalangan murid sekolah.
SK Kubang Kiat bersama Persatuan Rumah Ngaji Kelantan memartabatkan bacaan ayat suci al-Quran dalam kalangan murid sekolah.
A
A
A

KOTA BHARU - Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kiat di sini menyambut baik usaha Persatuan Rumah Ngaji Kelantan memartabatkan bacaan ayat suci al-Quran dalam kalangan murid sekolah.

Guru Besar sekolah berkenaan, Abd Rahman Abdullah berkata, setiap hari seramai 38 guru dan 378 murid menjayakan program bacaan al-Quran yang diadakan setiap hari di sekolah tersebut.

“Kami mahu ayat-ayat suci al-Quran menjadi kalimah pertama yang didengari dan disebut oleh warga sekolah sebelum memulakan pembelajaran.

“Banyak kelebihan ayat suci al-Quran dan sebagai umat Islam ia merupakan salah amalan yang dituntut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, setiap pagi semua murid akan didedahkan dengan kelas bacaan al-Quran yang dikendalikan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB), Che Zainal Abidin Harun.

Katanya, kelas taranum turut diadakan dan ia disertai oleh murid-murid terpilih sahaja.

Abd Rahman juga berharap dengan kerjasama PIBG yang diketuai Yang Dipertua (YDP), Zulkifli Idris dan tonggak utama Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim akan melahirkan lebih ramai murid celik al-Quran.

“Kami yakin usaha ini akan mencapai matlamatnya kerana semua pihak saling memberikan sokongan,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini semua pihak terutama murid sekolah menunjukkan minat dan kesungguhan yang sangat tinggi.