Kerajaan semak semula keutamaan projek pembangunan RMK12

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi 2022 akan dikaji semula pelaksanaannya selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam kenyataan pada Selasa, beliau berkata, Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam itu adalah berkaitan pelaksanaan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan untuk membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi.

Mustapa berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMK12 sebulan sekali untuk memastikan projek-projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan yang disediakan dibelanjakan sepenuhnya.

"Pada hari ini, saya telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tindakan susulan berkaitan dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) yang perlu diambil selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan MOF,” katanya.

Ia dihadiri wakil MOF, Kementerian Kerja Raya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kerja Raya.

Menurut Mustapa, mesyuarat pada Selasa antara lain telah memutuskan agar projek-projek yang dicadangkan dikaji semula pelaksanaannya melibatkan projek-projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan; projek-projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat dan projek-projek baharu dan sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

Sementara itu, projek-projek yang telah dikeluarkan iklan tender, surat niat dan surat setuju terima akan diteruskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19, katanya.

Sehubungan itu, Mustapa berkata, sesi libat urus antara MOF, EPU dan ICU dengan semua kementerian akan diadakan minggu hadapan untuk memberi penjelasan mengenai cadangan semakan semula keutamaan pelaksanaan projek pembangunan pada tahun ini.

"Kerajaan akan memastikan langkah-langkah penjimatan yang dilaksanakan ini tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Menurutnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM mengambil maklum bahawa perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding peruntukan berjumlah RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

Sementara itu, beliau berkata, garis panduan yang dikeluarkan MOF pada 14 Julai, 2022 antara lain menyatakan bahawa perbelanjaan mengurus (OE) mencapai sekurang-kurangnya 5.0 peratus penjimatan daripada baki peruntukan 2022.

Selain itu bagi DE, projek-projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan dikaji semula keutamaannya, manakala projek-projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti handaklah ditangguhkan, kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada kesejahteraan rakyat, katanya. - Bernama