28 lelaki didakwa jadi ahli Geng 08 GST

Seramai 28 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada Selasa atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 GST sejak tiga lalu.
Seramai 28 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada Selasa atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 GST sejak tiga lalu.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seramai 28 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 GST, sejak tiga lalu.

Mereka ialah P Thanasegaran, 46, K Saravanak Kumar, 36, S Selvamogan, 44, N Yogeswaran, 41, N Ganesan, 43, R Raja Kumar, 39, Aziz Latip Hasannar, 42, N Chandran, 37, B Vinot, 27, K Selvam, 38, P Tachana Moorthy, 36.

Selain itu ialah S Vekneswaran, 36, M Saravanan, 40, V Elengo Van, 36, V. Thingaran, 28, M Eswaran, 33, S Kali Muthu, 44, B Moganraj, 30, A Poobalan, 29, N Vijendran, 37, K Punitharaja, 26, R Devandran, 35, R Vengateswaran, 26, Tan Eng Sun, 22, P Sathteswaran, 23, G Gananathan, 23, H Arvind, 24, dan S Navin, 29.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu dan Tamil di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia terletak bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah tempat di Tin Mine, Kalumpang di sini antara Januari 2019 hingga 23 Jun 2022.

Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Shafiq Hasim, Khairul Azreem Mamat dan Yong Ching Hong.

Sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Geetham Ram Vincent, Datuk R Thinalan, Datuk David Gurupatham, JM Mark, K Shalvin, PS Doal, Mohd Hanif Hassan dan Mujahidah Almukimah Fakhrurazi.

Semasa prosiding, pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada semua tertuduh.

Bagaimanapun, pembelaan merayu agar anak guam mereka dilepaskan dengan ikat jamin atas alasan mempunyai tanggungan keluarga serta mempunyai masalah kesihatan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Nurul Mardhiah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, ahli keluarga yang hadir di mahkamah sejak jam 7.30 pagi, sabar menunggu di luar mahkamah.

Didapati kompleks mahkamah telah dikawal rapi oleh pasukan polis bagi tujuan keselamatan.

Orang awam yang mempunyai urusan, akan diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki kompleks.

Suasana bertukar hiba apabila hampir 100 ahli keluarga dan rakan-rakan mula melambai dan menjerit memanggil 28 tertuduh itu sejurus mereka dibawa keluar dengan menaiki trak ke Penjara Sungai Buloh.