Setiap negeri dicadang dakwa pelaku hina Islam: Mufti Pahang

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Mufti Pahang berpandangan supaya mana-mana pihak di 14 negeri dan Wilayah Persekutuan sepakat membuat pendakwaan terhadap individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan satu pertuduhan di negeri masing-masing.

Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ia sebagai salah satu cara untuk memberi pengajaran kepada pelaku dan juga individu lain agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Beliau turut menyifatkan kaedah itu sebagai berkesan selain memperketatkan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaan khususnya terhadap kes menghina kesucian agama Islam di negara ini.

“Kalau setakat satu pendakwaan dibuat ia tidak terkesan dan disebabkan itu masih ada individu yang berbuat demikian (hina agama).

“Jadi, adalah lebih baik jika 14 negeri (dan Wilayah Persekutuan) di Malaysia bertindak mendakwa pelaku dengan satu pertuduhan bagi mewakili setiap negeri.

"Saya percaya ini akan memberi iktibar kepada semua orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki didakwa menghina ALLAH dan Nabi Muhammad dengan pelbagai kata-kata makian.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, ALLAH serta agama Islam dan turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.

Abdul Rahman menjelaskan, pihak yang terlibat di setiap negeri juga boleh membuat perbincangan secara maya bagi membuat tindakan tepat terhadap pelaku.

Tambahnya, sebagai contoh, penguatkuasaan boleh dilakukan secara maya dengan memantau laman sosial dan menyekat tindakan pelaku sekiranya perbuatan tidak bertanggungjawab itu masih berulang.

“Ini perlu dilakukan bagi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

"Malah pihak berkuasa juga perlu sentiasa bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad dan seterusnya dikenakan hukuman yang lebih keras,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua rakyat beragama Islam khususnya supaya tidak kufur kepada ALLAH dengan perbuatan menghina Islam dan Rasulullah.

“Orang Islam sepatutnya pertahankan agama, bukan menghina dan perlu berdakwah bagi menegakkan Islam,” katanya.